TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir 400,000 permohonan Tahun Satu 2027 direkodkan setakat ini – KPM

By
|
Kongsi
image

TAIPING 11 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima sebanyak 398,671 permohonan pendaftaran bagi kemasukan Tahun Satu bagi sesi 2027 setakat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah tersebut 338,714 permohonan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun, manakala 59,957 lagi bagi kemasukan pada umur enam tahun.

"Akhir bulan ini kami akan dapat statistik ataupun pendaftaran secara muktamad dan daripada situlah kami boleh menentusahkan angka sebenar ataupun permintaan yang sebenar berkaitan dengan sekolah mana yang memerlukan penambahan bilik darjah.

".. tetapi itu bukan bermakna kami sekarang tidak ada rancangan… tidak. Sememangnya sekolah yang mungkin dari segi trend, dari segi tradisi mungkin akan menarik lebih banyak kemasukan murid, kami sudah bersedia dengan pemetaan kami tetapi kami akan muktamad pada akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wong berkata pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara kontrak (Contract of Service – CoS) bulan ini merupakan langkah jangka pendek bagi menampung keperluan tenaga pengajar.

Menurutnya, pengambilan tersebut menyasarkan graduan universiti yang tidak memiliki ikhtisas pendidikan bagi memastikan sekolah mempunyai tenaga pengajar mencukupi sekiranya berlaku peningkatan jumlah murid.

Beliau menjelaskan langkah berkenaan dibuat berikutan jangkaan situasi kohort berganda apabila murid berusia enam tahun turut memasuki Tahun Satu pada 2027.

"Kami jangka akan ada satu situasi kohort berganda, daripada situ tidak kiralah dari segi prasarana, ketersediaan bilik darjah ataupun ketersediaan guru itu, kami memang telah pun ada rancangan," katanya.

+ - reset