TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MTUC syor insentif Aidilfitri untuk pekerja swasta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan kerajaan meneliti keperluan pemberian insentif kepada pekerja sektor swasta sempena sambutan Aidilfitri.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, sumbangan pekerja swasta juga wajar dihargai kerana mereka merupakan tulang belakang ekonomi negara yang menyumbang kepada peningkatan cukai serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Pembangunan negara juga adalah hasil titik peluh pekerja swasta. MTUC mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengumumkan berita baik kepada mereka yang tidak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Golongan ini amat terkesan dengan persiapan hari raya dan mengharapkan Perdana Menteri dapat memberikan berita gembira kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dilaporkan berkata Anwar dijangka mengumumkan beberapa lagi berita baik untuk rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan tujuh langkah intervensi segera kerajaan MADANI bagi meringankan beban rakyat menjelang Syawal.

Antara langkah diumumkan termasuk pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara serta peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pengurusan syarikat yang enggan berkongsi keuntungan dengan pekerja bawahan.

Menurutnya, sebelum ini Anwar turut menasihatkan syarikat yang mencatat keuntungan supaya memberikan layanan adil kepada pekerja dengan berkongsi keuntungan.

“Sepatutnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) boleh mengikut langkah kerajaan dengan memberikan bantuan hari raya.

“Syarikat seperti Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan syarikat lain yang mencatat keuntungan perlu diarahkan kerajaan untuk berkongsi keuntungan dengan pekerja,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas beberapa inisiatif yang diumumkan sebelum ini bagi membantu rakyat.

Katanya, usaha berterusan itu amat dihargai bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika ramai berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

“Justeru, MTUC berharap pengumuman Perdana Menteri menjelang Aidilfitri nanti meliputi semua pekerja sektor awam dan swasta.

“Keprihatinan Perdana Menteri amat dihargai bagi memberikan senyuman kepada rakyat menjelang hari raya nanti,” katanya.

+ - reset