TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wan Saiful dipanggil polis berhubung siasatan dakwaan cubaan guling kerajaan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Mac – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan memaklumkan beliau dipanggil pihak berkuasa bagi memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata tujuan sebenar panggilan itu tidak dimaklumkan secara jelas, namun difahamkan ia berkait siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang merujuk kepada aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Saya dimaklumkan beberapa orang rakan dari dunia akademik dan NGO sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan. Saya juga akan memberi keterangan hari ini tetapi tidak pasti kenapa saya dipanggil.

"Saya tertanya-tanya adakah ia satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini?" katanya.

Beliau menjelaskan Seksyen 124B merujuk kepada aktiviti ganas yang tidak berperlembagaan bagi menggulingkan institusi Parlimen yang dipilih melalui sistem demokrasi.

Menurutnya, siasatan tersebut dipercayai berkait dengan satu laporan polis yang tular di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Daim Zainuddin dengan sebuah firma asing untuk menggunakan media antarabangsa bagi tujuan tertentu.

Wan Saiful turut mendakwa laporan polis itu dibuat oleh seorang editor media yang juga menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam.

"Saya tahu individu ini pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada (balu Allahyarham Daim) Na'imah Abdul Khalid untuk menangani tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan keluarga. Tawaran itu ditolak Toh Puan Nai'mah.

"Saya tidak menolak kemungkinan laporan polis ini dibuat untuk membalas penolakan itu dan jika itulah motifnya, maka integriti individu ini dalam menjalankan 'PR consultancy' dan syarikat media boleh dipersoalkan," katanya.

Na'imah bagaimanapun menafikan dakwaan yang dibuat oleh editor media berkenaan.

Sehubungan itu, Wan Saiful mempersoalkan bagaimana aktiviti media atau kempen awam boleh disiasat di bawah Seksyen 124B yang berkaitan dengan kesalahan menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Takrifan 'menjejaskan demokrasi berparlimen' sudah dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang, termasuk oleh Menteri KDN sekarang Saifuddin Nasution Ismail, yang bimbang mengenai takrifan yang longgar akan disalah guna oleh pihak berkuasa.

"Maka timbul persoalan asas, bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang 'menjejaskan demokrasi berparlimen'? Adakah kempen awam oleh orang politik atau parti politik, atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media, juga akan menjadi kesalahan di bawah kerajaan?" katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat pengamal media yang gagal memperoleh sesuatu projek kemudian menggunakan maklumat diperoleh untuk menimbulkan masalah kepada pihak yang menolak tawaran mereka.

Katanya, keadaan sedemikian boleh menjejaskan kepercayaan terhadap media yang sepatutnya berperanan sebagai tonggak keempat demokrasi.

"Ini akan mewujudkan ketidakpercayaan kepada media yang sepatutnya menjadi 'the fourth pillar of democracy'. Semua rakyat Malaysia berhak membela diri dan membetulkan naratif secara sah melalui saluran media massa atau mana-mana saluran yang mereka rasakan sesuai," katanya.

+ - reset