Berita Berita
Mahkamah tolak saman bekas pelajar sembunyi iPhone dalam pakaian dalam ketika peperiksaan
KUALA LUMPUR 11 Mac – Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menolak tuntutan saman yang difailkan seorang bekas pelajar selepas dia ditahan kerana menyembunyikan telefon pintar iPhone di dalam pakaian dalam ketika menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu.
Hakim, Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan guru menjalankan pemeriksaan mengejut semasa peperiksaan adalah munasabah serta wajar.
Kes berkenaan berpunca daripada peperiksaan percubaan SPM bagi subjek Sains Rumah Tangga di SMK Sura, Dungun pada 25 Oktober 2020.
Mahkamah dimaklumkan bahawa guru menjalankan pemeriksaan mengejut selepas menerima aduan daripada beberapa pelajar yang mengesyaki plaintif menipu semasa menjawab kertas peperiksaan.
Hasil pemeriksaan tersebut, sebuah telefon bimbit iPhone 6 berwarna emas ditemui disembunyikan di dalam pakaian dalam pelajar berkenaan.
Telefon berkenaan kemudian dirampas dan dijadikan bahan bukti bagi dakwaan meniru.
Pemeriksaan lanjut terhadap peranti itu menemui nota serta bahan rujukan berkaitan peperiksaan percubaan, termasuk dokumen mengandungi soalan yang mempunyai kaitan dengan kertas peperiksaan yang sedang diduduki.
Susulan penemuan itu, pihak sekolah memberikan markah satu peratus bagi beberapa subjek dalam peperiksaan percubaan berkenaan selaras dengan peraturan peperiksaan sekolah.
Walaupun kemudian menyatakan kekesalan, wanita itu yang kini berusia 23 tahun memfailkan saman melalui bapanya terhadap dua guru, pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan serta kerajaan atas dakwaan kecuaian, pemeriksaan tidak wajar dan fitnah.
Plaintif mendakwa dia dimalukan dengan pemeriksaan badan yang tidak wajar di hadapan pelajar lain selain menegaskan tuduhan meniru itu telah menjejaskan reputasinya serta menyebabkan tekanan emosi.
Bagaimanapun, Wan Nor Aklima dalam alasan penghakimannya bertarikh 5 Mac lalu menegaskan insiden tersebut berpunca daripada salah laku plaintif sendiri kerana membawa peranti ke dalam dewan peperiksaan.
"Plaintif mendakwa dia menyimpan telefon itu di dalam pakaian dalam kerana takut ia hilang jika ditinggalkan di luar dewan.
"Mengapa perlu letak di dalam pakaian dalam?. Mengapa bukan di dalam poket baju?. Pada hemat mahkamah, ini adalah sesuatu yang dirancang dan bukan tindakan spontan.
"Plaintif sudah melakukan pertimbangan yang lemah dan mengambil risiko besar dengan membawa telefon itu masuk ke dewan peperiksaan," katanya.
Hakim turut mempersoalkan bagaimana plaintif boleh memperoleh kertas peperiksaan percubaan bagi beberapa subjek lebih awal.
"Apa yang berlaku semasa pemeriksaan dan rampasan telefon itu bukanlah perkara luar biasa dalam persekitaran sekolah.
"Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah plaintif memiliki kertas peperiksaan percubaan SPM 2020 bersama skema jawapan bagi beberapa subjek teras. Bagi mahkamah, ini adalah isu sebenar yang nampaknya terlepas pandang oleh semua pihak," tegas beliau.
Mahkamah turut mendapati pemeriksaan dilakukan di dalam dewan tertutup dengan hanya guru wanita hadir serta tiada sebarang sentuhan fizikal tidak wajar berlaku.
Mengenai dakwaan fitnah, hakim memutuskan kenyataan guru berhubung dakwaan meniru itu dibuat dalam konteks siasatan tatatertib dan dilindungi oleh prinsip keistimewaan bersyarat (qualified privilege).
Mahkamah kemudian memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM10,000 kepada defendan.
Difahamkan, plaintif telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding tersebut, plaintif diwakili peguam Hisyam Yusof, manakala Nik Rabi'atul Adawiyah Soupy dan Muhammad Faizuan Khalid daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu mewakili pihak defendan.
Berita berkaitan
March 11, 2026, 3:30 pm
Kes samun berkumpulan Gombak didalangi orang awam, bukan anggota polis - KP Selangor
March 11, 2026, 3:00 pm
Cikgu Chandra tidak akan pindah walau rumah diceroboh, kereta dibakar
March 11, 2026, 2:44 pm
PDRM umum pertukaran, kenaikan pangkat 11 pegawai kanan
March 11, 2026, 2:39 pm
MTUC syor insentif Aidilfitri untuk pekerja swasta
March 11, 2026, 1:35 pm
Lelaki baran hentak kepala teman wanita pada stereng kereta
March 11, 2026, 12:47 pm
345 institusi pendidikan MARA terima cuti tambahan sempena Aidilfitri - Asyraf Wajdi
March 11, 2026, 12:28 pm
Wan Saiful dipanggil polis berhubung siasatan dakwaan cubaan guling kerajaan
March 11, 2026, 11:58 am
Hampir 400,000 permohonan Tahun Satu 2027 direkodkan setakat ini – KPM
March 11, 2026, 11:19 am
