TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PDRM umum pertukaran, kenaikan pangkat 11 pegawai kanan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat melibatkan 11 pegawai kanan pasukan itu.

Setiausaha Polis Malaysia, Abdul Rahman Kassim berkata, pertukaran berkenaan membabitkan pegawai kanan daripada pelbagai jabatan termasuk di Bukit Aman dan kontinjen negeri.

Menurutnya, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Mohd Faisal Yahya yang sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

Selain itu, SAC Abd Rahman Atan yang sebelum ini Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perundangan) di Bukit Aman dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, juga dengan memangku pangkat DCP.

“Turut terlibat ialah SAC Mohamed Roslan Ahmed Junaidi yang sebelum ini Penolong Pengarah E7A Cawangan Khas Bukit Aman dan kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris yang sebelum ini Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor dengan memangku pangkat SAC.

“Sementara itu, ACP Mohamad Lazim Ismail yang sebelum ini Ketua Polis Daerah Wangsa Maju dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, juga dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beberapa pegawai lain turut terlibat dalam pertukaran termasuk ACP Che Haniza Che Senapi, ACP Annas Sulaiman, Superintendan Azari Miskon serta beberapa pegawai kanan lain bagi mengisi jawatan strategik di peringkat jabatan dan kontinjen.

+ - reset