TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Hanya alihkan batang besi terbiar yang tajam, berkarat' - Tamrin nafi hina simbol suci agama Hindu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac – Aktivis masyarakat, Tamim Dahri Abdul Razak menafikan dakwaan bahawa beliau menghina simbol suci agama Hindu selepas tular rakaman video yang memaparkan dirinya mengalihkan sebatang besi ketika berada di Pulau Langkawi, Kedah.

Menurut Tamim Dahri, kejadian itu berlaku ketika beliau bercuti di pulau peranginan tersebut dan tidak menyedari objek yang dialihkan itu merupakan simbol keagamaan kerana keadaan besi tersebut telah lama terbiar serta berkarat.

"Aku ke Langkawi beberapa hari lepas, saja nak berjalan melepas tekanan selepas kerja data di HBM.

"Niat asal nak meneroka tempat-tempat 'rare' dekat sana, aku sewa kereta dan pusing sekeliling pulau, sampai satu tempat berdekatan gua-gua," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Katanya, objek berkenaan disedari selepas beliau singgah di kawasan berhampiran gua dan memberi makanan kepada monyet liar di lokasi tersebut.

"Aku ternampak ada batang besi konkrit yang tajam, tidak terfikir langsung itu adalah lambang keagamaan memandangkan ia hanya besi berkarat yang tajam.

"Itu juga bukan rumah anutan kerana tiada bangunan dan kawasan sekitar adalah lapang," jelas Tamim Dahri.

Tambahnya lagi, perbuatan mengalihkan objek yang boleh mencederakan orang lain di jalan dianggap sebagai satu bentuk sedekah.

Dalam masa sama, Tamim Dahri turut memuat naik gambar objek yang mencetuskan kontroversi itu dan mendakwa bentuknya berbeza daripada trisula sebenar.

Sebelum ini, media melaporkan Tamim Dahri sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas tular klip video yang didakwa menunjukkan dirinya menghina simbol suci agama Hindu.

Rakaman berkenaan memaparkan dia memijak trisula atau tombak bercabang tiga yang dikenali sebagai soolam di kawasan terbuka yang tidak dikenal pasti.

Klip video tersebut mengundang kemarahan penganut Hindu sehingga beberapa laporan polis dibuat sejak beberapa hari lalu.

+ - reset