TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes samun berkumpulan Gombak didalangi orang awam, bukan anggota polis - KP Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 11 Mac – Polis mendedahkan perancang utama kes samun berkumpulan yang membabitkan enam lelaki, termasuk dua pegawai kanan dan seorang anggota polis di daerah Gombak pada 27 Februari lalu, adalah seorang orang awam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum semua suspek berjaya diberkas melalui beberapa siri tangkapan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula 2 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek saling mengenali antara satu sama lain, manakala dalang yang merancang kegiatan itu bukan daripada anggota pasukan keselamatan.

Menurut beliau, dua suspek terakhir berjaya ditahan semalam dan kini direman bagi membantu siasatan.

“Kes samun di Gombak ini telah selesai disiasat dan kesemua suspek yang terlibat berjaya ditangkap oleh IPD Gombak. Perancang utama adalah orang awam dalam kumpulan suspek itu.

“Kertas siasatan juga telah diedarkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Bukit Aman untuk dikaji kerana kes ini melibatkan suspek yang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau menambah, setakat ini pihak polis memperoleh beberapa dapatan positif hasil siasatan.

“Sekiranya ada perkembangan baik, saya akan kongsikan kepada pihak media,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Gombak. Pemeriksaan turut mendapati salah seorang suspek awam mempunyai 20 rekod jenayah lampau.

+ - reset