TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lagi kes hina al-Quran: MCMC siasat akaun media sosial Dickie Borneo

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 11 Mac -!Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan berhubung penyebaran visual di Threads dan Facebook memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

MCMC dalam kenyataan berkata, perbuatan itu bukan sahaja menghina Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan sudah dipadam dan akaun yang terbabit itu dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan.

"Bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan. Pemantauan lanjut oleh MCMC turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai membabitkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial. 

"Semua kandungan berkaitan sudah diambil sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya. 

Kenyataan itu berkata, MCMC sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terbabit.

"MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam," katanya. 

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. 

"Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada," katanya.

+ - reset