TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Macs – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan daripada anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Khuzairi didakwa menerima suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai RM50,000 daripada Muhammad Faisal Hamzah yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SSM@Sentral, Jalan Stesen 5, Kuala Lumpur Sentral di sini pada Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

"Mahkamah perlu menimbangkan jumlah dan syarat tambahan yang dicadangkan, kerana ada kemungkinan tertuduh melarikan diri daripada menghadapi mahkamah.

"Justeru, jumlah jaminan yang dicadangkan itu dilihat wajar dan munasabah," katanya.

Cadangan pendakwaan itu tidak dibantah peguam bela, Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh.

Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

+ - reset