TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gempar hutan di lebuh raya MEX terbakar, 27 anggota bomba terlibat padam api lebih dua hektar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Mac – Kebakaran di kawasan hutan lereng bukit Puncak Jalil dekat Seri Kembangan yang dikesan petang tadi dilaporkan semakin merebak sehingga meliputi kawasan lebih dua hektar setakat malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, setakat pukul 9 malam, kerja pemadaman masih dijalankan dengan kekuatan seramai 27 anggota bomba.

"Pada masa ini kerja pemadaman masih dilakukan dengan keseluruhan jumlah kekuatan anggota bomba 27 orang.

"Kerja pemadaman dilakukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Seri Kembangan, BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Subang Jaya dan BBP Penchala dengan keseluruhan enam jentera dan tiga ambulans," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan komander operasi petang tadi, kebakaran pada awalnya berlaku di kawasan hutan lereng bukit seluas kira-kira 1.2 hektar.

Menurutnya, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan kepada struktur kediaman serta premis perniagaan berhampiran.

Dalam kejadian itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.12 petang berhubung kebakaran di kawasan hutan lereng bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 0.3 hektar.

Berdasarkan maklumat yang diterima pegawai bertugas di lokasi, keluasan kawasan terbakar dianggarkan 500 meter × 300 meter dan dibahagikan kepada enam sektor bagi memudahkan operasi pemadaman.

Ahmad Mukhlis berkata, jarak kawasan kebakaran dengan kawasan kediaman berhampiran adalah kira-kira 150 meter namun dipisahkan oleh longkang besar.

"Pada masa ini kita sedang melaksanakan proses 'Fire Break' iaitu menghalang api merebak ke kawasan kediaman berkenaan," katanya.

Kejadian kebakaran itu turut dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) kerana lokasi kejadian terletak bersebelahan lebuh raya tersebut.

+ - reset