Berita Berita
Trafik lebuh raya dijangka cecah 2.3 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
KUALA LUMPUR 12 Mac – Trafik di lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) dijangka meningkat mendadak sehingga mencecah 2.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Pengarah Urusannya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan kira-kira 21 peratus berbanding purata trafik harian biasa di lebuh raya kendalian syarikat berkenaan.
Menurutnya, hari puncak perjalanan dijangka berlaku pada 18, 19 dan 20 Mac iaitu sebelum Aidilfitri, manakala aliran trafik kembali ke bandar pula dijangka memuncak pada 27, 28 dan 29 Mac.
"Trend berkenaan selari dengan peningkatan trafik yang dicatatkan sempena Tahun Baharu Cina lalu apabila jumlah kenderaan pada waktu puncak sehari, melebihi dua juta," katanya pada Majlis Taklimat dan Sidang Media Persediaan PLUS Menguruskan Peningkatan Trafik Sempena Musim Hari Raya 2026 di PERSADA PLUS di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali; Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran.
Sehubungan itu, Nik Airina menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS.
Katanya, MyPLUS-TTA boleh diakses bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula 18 Mac hingga 30 Mac 2026.
"Berdasarkan trend perjalanan perayaan lalu dan jangkaan trafik musim perayaan tahun ini, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh waktu perjalanan lebih panjang semasa musim perayaan sekiranya memulakan perjalanan di luar waktu dicadangkan oleh MyPLUS TTA.
"Namun, ianya juga bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal-hal luar jangka.
"Oleh itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan MyPLUS-TTA untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta memandu secara berhemah sepanjang musim perayaan.
"PLUS turut mengingatkan kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dengan meletakkan kenderaan di ruang parkir yang disediakan apabila berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), plaza tol dan hentian sebelah bagi mengurangkan gangguan kelancaran lalu lintas.
"Kami berharap semua pengguna dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa bagi meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini bersama keluarga tersayang dengan penuh kegembiraan," katanya.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 3:53 pm
Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
March 12, 2026, 3:25 pm
'Banyak benda dah diatur' - Pulau Pinang teruskan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
Kediaman Cikgu Chandra sekali lagi diserang, terima ugutan daripada bekas ahli politik
March 12, 2026, 11:19 am
Lelaki maut terjun tingkat tiga ketika cuba elak ditahan polis di Jalan Gombak
March 12, 2026, 10:41 am
MOTAC susun semula strategi promosi TMM 2026 susulan ketegangan Asia Barat
March 12, 2026, 9:46 am
Gempar hutan di lebuh raya MEX terbakar, 27 anggota bomba terlibat padam api lebih dua hektar
March 12, 2026, 9:17 am
