TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 12 Mac - Dua pengasuh sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang direman bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan pada Isnin lalu didapati tidak mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP) seperti diwajibkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, berdasarkan peraturan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setiap petugas taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) perlu mengikuti KAP bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab serta kualiti penjagaan berada pada standard yang ditetapkan.

"Berdasarkan siasatan JKM, terdapat tujuh petugas di taska itu dan 44 kanak-kanak berusia empat tahun, termasuk bayi lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu dihantar ke taska berkenaan yang beroperasi 24 jam sehari.

"Pemeriksaan juga mendapati tujuh petugas, termasuk dua wanita yang ditahan itu tidak mengikuti KAP yang sememangnya diwajibkan kepada petugas TTPJ. Hakikatnya masih terdapat pengasuh yang diambil bekerja di TTPJ, khususnya pengambilan baharu yang belum memenuhi syarat terbabit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, dua wanita berusia 22 tahun yang juga pengasuh di taska berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, hasil pemeriksaan mendapati taska terbabit berdaftar secara sah serta mematuhi syarat berkaitan pendaftaran dan National Integrated System of Childcare (NISPA) serta telah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Katanya, sehingga kejadian itu, JKM tidak pernah menerima sebarang aduan daripada ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak mereka ke taska berkenaan.

"Ekoran kejadian itu, JKM mengarahkan taska terbabit ditutup bermula pada hari kejadian, iaitu 9 Mac lalu dan tidak dibenarkan beroperasi sementara sehingga siasatan polis selesai," katanya.

Beliau berkata, penutupan sementara itu dibuat di bawah Seksyen 16 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

+ - reset