TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kajian dedah kaum India paling tinggi ditolak dalam sewaan rumah di Lembah Klang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Mac – Sebanyak 45 peratus iklan sewaan rumah yang dipaparkan secara digital di Lembah Klang didapati menetapkan syarat kaum sebagai kelayakan asas untuk menyewa, menurut satu kajian oleh badan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD) Malaysia.

Kajian terhadap 35,367 penyenaraian bilik sewa di platform sewa rumah dalam talian pada Februari 2026 mendapati sebanyak 42.8 peratus iklan menolak sekurang-kurangnya satu kumpulan kaum, menjadikan diskriminasi kaum sebagai pendirian paling biasa dalam kalangan tuan tanah di platform berkenaan.

Dapatan itu menunjukkan hampir satu daripada setiap dua iklan secara jelas menafikan peluang penyewa berdasarkan latar belakang etnik walaupun individu tersebut layak dari segi kewangan.

Antara data yang didedahkan ialah penyewa berbangsa India merupakan kumpulan paling terkesan dalam sistem tersebut.

Laporan itu menunjukkan penyewa India menghadapi kadar penolakan sebanyak 31.7 peratus daripada semua penyenaraian di Lembah Klang berbanding 7.6 peratus bagi penyewa Melayu dan 3.9 peratus bagi penyewa Cina.

Menurut laporan itu, sekatan akses tersebut berlaku apabila pemilik hartanah meletakkan keutamaan seperti “Melayu sahaja” atau “Cina sahaja” dalam iklan sewaan mereka.

Kajian tersebut turut mendapati 96.1 peratus penyenaraian menerima penyewa Cina dan 92.4 peratus menerima penyewa Melayu, manakala hanya 68.3 peratus menerima penyewa India.

Data juga menunjukkan sebanyak 21.3 peratus daripada semua penyenaraian menolak penyewa India tetapi menerima penyewa daripada kaum lain.

Kajian itu mendapati kadar diskriminasi berbeza mengikut kawasan di Lembah Klang dengan lima kawasan mencatatkan kadar melebihi 50 peratus, iaitu Ampang (57.5 peratus), Taman Desa (56.2 peratus), Klang (54.8 peratus), Setapak (51.1 peratus) dan Bangi (50.5 peratus).

Sebaliknya, kawasan berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur mencatatkan kadar lebih rendah seperti Pusat Bandar Kuala Lumpur (31.3 peratus) dan Titiwangsa (25.7 peratus).

Laporan itu turut menunjukkan penyewa India menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana penyenaraian yang tidak mendiskriminasi mereka secara purata 11.2 peratus atau RM735 lebih mahal berbanding penyenaraian yang menolak penyewa India, iaitu RM661.

Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee berkata Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang secara khusus melarang diskriminasi kaum dalam pasaran sewa persendirian.

"Malaysia masih tiada undang-undang yang secara melarang diskriminasi kaum dalam pasaran sewa persendirian, oleh itu, pemilik rumah boleh secara terbuka menolak penyewa berdasarkan kaum, dan penyewa yang didiskriminasi tidak mempunyai saluran perundangan untuk mendapatkan pembelaan.

"Ini perlu diubah. Apabila sesebuah platform mereka bentuk sistem yang membolehkan pemilik rumah menanda kotak untuk mengecualikan sesuatu kaum daripada melihat penyenaraian mereka, platform itu tidak neutral. Ia secara aktif membolehkan diskriminasi pada skala besar, dan ia harus dipertanggungjawabkan atas pilihan reka bentuk itu," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pemilik rumah yang ditemu bual dalam kajian lalu menyatakan pengalaman buruk dengan penyewa tertentu sebagai alasan utama mereka menetapkan keutamaan kaum.

"Kebanyakan mereka tidak melihat keutamaan kaum sebagai diskriminasi, itu yang kami dapati amat membimbangkan," katanya.

Kajian itu turut mendapati penyewa yang didiskriminasi sering berdepan tekanan mental akibat penolakan berulang kali selain terpaksa menanggung kos sewaan lebih tinggi kerana pilihan kediaman yang terhad.

AOD menyifatkan amalan meletakkan syarat kaum dalam iklan sewaan sebagai satu bentuk prasangka sistemik yang tidak sepatutnya dibiarkan berterusan dalam masyarakat moden.

Menurut badan itu, pemilihan penyewa seharusnya berdasarkan kemampuan membayar sewa, tingkah laku peribadi dan rekod kewangan, bukannya stereotaip kaum.

AOD turut menegaskan kerjasama antara kerajaan, platform iklan hartanah dan masyarakat diperlukan bagi membanteras amalan diskriminasi tersebut.

Tambahnya, angka sebenar diskriminasi mungkin lebih tinggi kerana kajian itu hanya mengambil kira kes yang menyatakan secara terbuka keutamaan kaum dalam iklan sewaan.

+ - reset