Berita Berita
UMNO tidak terkesan gelaran terhadap inisiatif Rumah Bangsa
SEREMBAN 13 Mac – UMNO tidak terkesan dengan pelbagai gelaran yang dilontarkan pihak tertentu terhadap parti itu ketika usaha sedang dilakukan untuk memperkukuhkannya melalui penarikan semula pemimpin serta bekas ahli yang dipecat atau digantung keahlian menerusi Inisiatif Rumah Bangsa.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memperkukuh keharmonian dalaman parti sekali gus membantu UMNO bangkit semula selepas terkesan dengan keputusan pilihan raya lalu.
Menurutnya, UMNO kini sedang berusaha membina kekuatan dari dalam parti sebagai asas utama untuk menghadapi cabaran politik pada masa depan.
“Jika ada pihak yang melabelkan parti kita sebagai rumah hantu (Inisiatif Rumah Bangsa), itu terpulang kerana UMNO sekarang berada dalam keadaan harmoni hasil muhasabah diri.
“Kita sedar kita sudah dibuang pada pilihan raya terdahulu, tetapi kita juga menyedari rakyat berbuat demikian kerana ada sebab. Seperti orang tua-tua kata, sakit berpunca mati bersebab.
“Salah satu puncanya ialah pergeseran sesama sendiri selain perbalahan dalaman dan isu yang tidak dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau di sini, malam tadi.
Mohamad mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO kerana menyifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat.
Abdul Hadi dilaporkan berkata gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diibaratkan seperti perlindungan yang rosak dan tidak mampu melindungi pihak yang berada di bawahnya.
Mohamad yang juga Menteri Luar turut membidas bahasa yang digunakan pemimpin itu dan menyifatkannya sebagai tidak sesuai.
“Beliau sepatutnya menggunakan bahasa yang baik terutama dalam bulan Ramadan. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana bagi saya terlalu banyak flip-flop yang beliau lakukan, bercakap yang bukan-bukan… buang masa saya untuk memberi komen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMNO juga sedang membincangkan persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun ini dan Johor pada tahun hadapan.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti perlu membuat persiapan awal walaupun tarikh sebenar PRN berkenaan belum diputuskan.
“Sekarang kita mengarahkan cawangan-cawangan bermesyuarat lebih awal iaitu pada April dan Mei, manakala bagi bahagian pula pada Jun dan Julai.
“Selepas itu kita akan memberi tumpuan untuk membantu rakan di Melaka dan Johor bagi menghadapi PRN,” katanya.
Berita berkaitan
March 17, 2026, 5:53 pm
Polis buru lelaki belasah isteri, langgar kepala guna motosikal hingga cedera
March 17, 2026, 4:54 pm
Lelaki ‘naik minyak’ tetak rakan sekerja selepas ditegur nasi belum masak
March 17, 2026, 4:18 pm
Anwar gesa pintu Masjid Al-Aqsa dibuka segera
March 17, 2026, 4:12 pm
Cadangan WFH penjawat awam tidak libat sektor pendidikan, kesihatan buat masa ini
March 17, 2026, 3:54 pm
Malaysia sambut baik Intel mula operasi kompleks pembungkusan termaju
March 17, 2026, 3:43 pm
Anggota tentera wanita dipenjara tujuh tahun kes amang seksual anak
March 17, 2026, 3:22 pm
Zamri Vinoth dibebas dengan ikat jamin RM4,500
March 17, 2026, 3:19 pm
DBKL bakal lancar portal digital baharu, percepat kelulusan perniagaan tanpa kerenah birokrasi
March 17, 2026, 3:13 pm
