TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar tinjau kemeriahan Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2026 di MITEC, 'shopping' raya 66 jam tanpa henti

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Festival Raya ikonik, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (AbXFGR), kembali memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri pada tahun 2026 dengan penganjuran yang lebih meriah dan berskala besar.

Tahun ini menandakan ulang tahun kelima penganjuran festival tersebut, yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival bazar Raya terbesar di Malaysia.

Acara yang dianjurkan oleh My Events International bersama Absolut Events & Management ini bermatlamat untuk menyediakan platform komprehensif kepada usahawan tempatan, jenama tempatan, serta pengunjung untuk menikmati pengalaman membeli-belah persiapan Raya dalam suasana festival yang meriah dan penuh semangat keusahawanan.

Bagi edisi 2026, AbXFGR memperluaskan jangkauannya dengan mengadakan penganjuran di tiga lokasi utama.

Bermula di BRIDEX Convention Centre, Brunei (27 Februari - 1 Mac 2026), diikuti oleh PICCA, Pulau Pinang (6 - 8 Mac 2026).

Kemuncak festival berlangsung selama 66 jam tanpa henti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, bermula 12 tengah hari hari ini hingga 6 pagi, 16 Mac.

Sepanjang empat tahun penganjurannya sebelum ini, AbXFGR telah mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan, termasuklah menjana RM61.5 juta hasil jualan, merekodkan 2,432 tapak penyertaan peniaga, dan menarik seramai 7.96 juta jumlah pengunjung.

Festival ini juga telah menampilkan 334 vendor F&B, lebih 400 selebriti, serta bekerjasama dengan 125 rakan penaja. Pencapaian ini jelas mengukuhkan kedudukan AbXFGR sebagai pemangkin ekonomi tempatan dan platform penting bagi usahawan.

AbXFGR 2026 turut menampilkan ratusan peniaga daripada pelbagai kategori produk, termasuk fesyen Raya terkini, makanan dan minuman tradisional serta moden, kosmetik, aksesori, dan pelbagai produk gaya hidup lain yang menjadi pilihan utama pengunjung dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kemeriahan festival ini turut diserikan dengan lawatan mengejut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke AbXFGR 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.

Kehadiran beliau disambut meriah oleh para pengunjung dan peniaga, yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu dan berinteraksi secara dekat.

Anwar turut melakukan simbolik memotong pulut kuning sebagai tanda meraikan ulang tahun kelima AbXFGR, serta meninjau gerai-gerai usahawan tempatan.

Selain itu, pihak penganjur turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menjemput seramai 250 orang ibu tunggal, anak yatim, dan asnaf daripada beberapa pertubuhan kebajikan seperti Pertubuhan Ibu Tunggal NUR HIKMAH, Persatuan Kebajikan Wanita dan Ibu Tunggal WITUS, Pusat Jagaan Kasih Murni, dan Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH). 

Inisiatif ini bertujuan untuk menyantuni komuniti serta memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk merasai pengalaman festival dan meraikan semangat kebersamaan.

AbXFGR 2026 kekal menjadi destinasi utama orang ramai untuk mendapatkan pelbagai keperluan persiapan hari raya di satu lokasi, sambil menikmati suasana festival yang meriah dengan kehadiran peniaga, jenama tempatan, serta pelbagai aktiviti menarik sepanjang penganjuran acara.

Orang ramai dijemput untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai AbXFGR melalui media sosial rasmi acara ini bagi mendapatkan maklumat terkini serta pengumuman berkaitan festival tersebut.

+ - reset