TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

14,332 pengarah syarikat disekat ke luar negara gagal bayar caruman KWSP

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Mac – Seramai 14,332 pengarah syarikat dihalang meninggalkan Malaysia sehingga Disember lalu kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja masing-masing.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan 2,257 nama baharu yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia antara Januari hingga Disember 2025 di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Pada tahun lalu juga, KWSP memfailkan sebanyak 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah syarikat serta majikan yang gagal menunaikan caruman pekerja.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, semua majikan diwajibkan menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP.

Menurut beliau, majikan yang gagal memenuhi kewajipan tersebut boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.

“Pasukan penguatkuasaan KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan pada masanya.

“Pembayaran caruman yang teratur pada masanya adalah penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, malah memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang serta menyediakan asas kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rangka kerja KWSP diwujudkan bagi memastikan majikan memenuhi tanggungjawab mencarum untuk simpanan persaraan pekerja.

Katanya, tanpa mekanisme berkanun itu, pekerja mempunyai ruang terhad untuk memastikan majikan mencarum secara konsisten bagi simpanan persaraan mereka.

Dalam tempoh sama, KWSP menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima, manakala 12,161 kes lagi masih dalam siasatan serta tindakan undang-undang.

“Setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.

“KWSP akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan majikan memenuhi kewajipan yang ditetapkan. Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas bagi melindungi simpanan persaraan ahli yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Sementara itu, ahli digesa sentiasa menyemak akaun KWSP menerusi aplikasi i-Akaun bagi memastikan caruman majikan dikreditkan tepat pada masanya dan dalam jumlah yang betul.

Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, ahli diminta segera menghubungi majikan untuk mendapatkan pengesahan.

Jika majikan gagal membuat caruman yang ditetapkan, ahli boleh menghubungi atau hadir ke mana-mana pejabat KWSP untuk membuat aduan dengan mengemukakan dokumen sokongan seperti surat tawaran pekerjaan, slip gaji atau rekod berkaitan.

+ - reset