Berita Berita
Rafizi gesa kerajaan dedah hasil siasatan terhadap Azam Baki
KUALA LUMPUR 13 Mac – Kerajaan digesa segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi mengelakkan timbulnya spekulasi berterusan.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendedahan itu perlu merangkumi jumlah saham yang dimiliki Azam serta bilangan syarikat yang terbabit.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, walaupun siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Azam telah selesai dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sehingga kini tiada maklumat telus mengenai hasil penuh siasatan didedahkan kepada umum.
Sebaliknya, katanya, maklumat yang diperoleh setakat ini hanya berdasarkan sidang akhbar Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tanpa memperincikan keseluruhan hasil siasatan.
Dakwa beliau, maklumat yang dilaporkan melalui sidang akhbar itu memberi gambaran bahawa Azam telah melanggar peraturan, justeru perkara tersebut dirujuk kepada Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, Rafizi berkata, kerajaan juga dikatakan tidak akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tuduhan berkaitan mafia korporat dan dakwaan persubahatan SPRM kerana perkara itu akan diteliti secara berasingan oleh agensi penguatkuasaan sedia ada.
“Akibat tindakan kerajaan yang mahu menyembunyikan hasil siasatan, seolah-olah dengan harapan perkara ini lama-kelamaan akan tenggelam, ia menimbulkan pelbagai spekulasi kerana maklumat dari Putrajaya akan terus bocor kepada pihak media dan orang ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, kebocoran maklumat tersebut bermula dengan laporan media antarabangsa yang mendakwa tempoh perkhidmatan Azam tidak akan disambung.
Selain itu, katanya, maklumat terbaharu yang kini berlegar dalam kalangan sumber kerajaan ialah dakwaan mengenai penemuan siasatan terhadap pemilikan saham Azam.
Beliau mendakwa, ia termasuk pegangan saham bernilai RM14 juta dalam sembilan syarikat dengan pembelian saham berkenaan tidak mendapat kelulusan atau tidak diisytiharkan seperti sepatutnya.
“Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuk jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara ini akan terus bertiup kencang.
“Pada satu ketika, ia juga akan dilaporkan oleh pihak media seperti beberapa pendedahan yang telah dibuat setakat ini.
“Rakyat berhak tahu perincian hasil siasatan kerana jika jumlah saham yang ditemui adalah RM14 juta seperti didakwa, isu ini tidak wajar ditangani semata-mata sebagai pelanggaran peraturan penjawat awam,” katanya.
Tambah Rafizi, jumlah saham berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai punca kekayaan dan pendapatan Azam kerana didakwa tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai penjawat awam kanan.
Menurut beliau, lazimnya jika seseorang disiasat kerana punca kekayaan diragui, tindakan seperti pembekuan akaun, pengisytiharan harta dan pendakwaan akan diambil sekiranya gagal membuat pengisytiharan.
“Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Tan Sri Azam Baki akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi beliau,” katanya.
Berita berkaitan
March 13, 2026, 6:33 pm
Lelaki melecur, 27 kucing mati dalam kebakaran rumah di Langkawi
March 13, 2026, 4:22 pm
Cadangan kerja dari rumah tidak sesuai dilaksana secara menyeluruh - MEF
March 13, 2026, 4:15 pm
Kerajaan pastikan bekalan minyak negara kekal stabil
March 13, 2026, 4:07 pm
14,332 pengarah syarikat disekat ke luar negara gagal bayar caruman KWSP
March 13, 2026, 4:01 pm
AFC terima keputusan MFL berhubung status pemain warisan
March 13, 2026, 3:54 pm
70 jemaah Malaysia selamat dalam kebakaran hotel di Makkah
March 13, 2026, 3:39 pm
Pastikan bekalan makanan tak putus, kerajaan tingkat stok beras hingga sembilan bulan
March 13, 2026, 2:30 pm
