TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan pastikan bekalan minyak negara kekal stabil

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 13 Mac – Kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan minyak dalam negara kekal stabil termasuk mendapatkan sumber bekalan baharu susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu bagi mengelakkan kesan negatif terhadap pasaran dan keyakinan awam.

“Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Malaysia mempunyai bekalan minyak yang mencukupi buat masa ini, namun tidak bermakna kerajaan tidak berbuat apa-apa bagi mendapatkan bekalan tambahan.

“Usaha untuk mendapatkan bekalan baharu bagi menggantikan apa yang kita gunakan terus dilakukan oleh Petronas dan syarikat-syarikat minyak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan tahun lalu dijangka menjadi pemangkin kepada momentum ekonomi negara walaupun berdepan cabaran global.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi pada 2025 yang melebihi sasaran kerajaan menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh dan memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan tahun ini.

“Alhamdulillah, tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat tahun 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun itu 5.2 peratus yang dipacu oleh pembaharuan ekonomi, pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara.

“Kita rasa faktor ini akan terus mempengaruhi tahun ini. Jadi insya-Allah kita bermula dengan keadaan yang lebih stabil dan lebih kuat untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

+ - reset