Berita Berita
Tunggu pengumuman rasmi, Sultan Selangor tegur pihak ramal tarikh Aidilfitri sehingga timbul kekeliruan
KUALA LUMPUR 13 Mac - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ketidakberkenan baginda terhadap andaian serta ramalan tanpa asas mengenai tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Baginda bertitah, orang ramai perlu bersabar dan tidak mudah mempercayai sebarang spekulasi berkaitan penentuan tarikh Hari Raya.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 19 Mac ini selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal bulan Ramadan dan Syawal yang tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.
“Kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat negara-negara lain,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Baginda turut bertitah bahawa Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam penjelasan terbaharu pada 10 Mac lalu memaklumkan bahawa permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada kenampakan hilal atau anak bulan.
Menurut baginda, data kedudukan bulan pada tarikh cerapan juga berbeza di setiap negara kerana setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang tidak sama.
“Khutbah Jumaat hari ini turut menyatakan kaedah-kaedah penentuan awal bulan Syawal dan menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berautoriti. Baca dan hadamkan kenyataan dibuat Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara itu,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya.
“Ini sehingga melalaikan daripada memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan yang merupakan tempoh yang amat berharga untuk memperbanyak ibadah, doa dan memohon keampunan daripada Allah SWT,” titah baginda.
Berita berkaitan
March 13, 2026, 6:33 pm
Lelaki melecur, 27 kucing mati dalam kebakaran rumah di Langkawi
March 13, 2026, 5:46 pm
Rafizi gesa kerajaan dedah hasil siasatan terhadap Azam Baki
March 13, 2026, 4:22 pm
Cadangan kerja dari rumah tidak sesuai dilaksana secara menyeluruh - MEF
March 13, 2026, 4:15 pm
Kerajaan pastikan bekalan minyak negara kekal stabil
March 13, 2026, 4:07 pm
14,332 pengarah syarikat disekat ke luar negara gagal bayar caruman KWSP
March 13, 2026, 4:01 pm
AFC terima keputusan MFL berhubung status pemain warisan
March 13, 2026, 3:54 pm
70 jemaah Malaysia selamat dalam kebakaran hotel di Makkah
March 13, 2026, 3:39 pm
Pastikan bekalan makanan tak putus, kerajaan tingkat stok beras hingga sembilan bulan
March 13, 2026, 2:30 pm
