TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadangan kerja dari rumah tidak sesuai dilaksana secara menyeluruh - MEF

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 13 Mac – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpandangan cadangan memperluaskan amalan bekerja dari rumah (WFH) tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh kerana kesesuaiannya berbeza mengikut sektor industri.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan industri seperti pembuatan, perkilangan, logistik, peruncitan dan perkhidmatan fizikal memerlukan kehadiran pekerja di tempat kerja serta tidak boleh beroperasi sepenuhnya secara jarak jauh.

Menurut beliau, keputusan melaksanakan bekerja dari rumah wajar kekal sebagai prerogatif majikan berdasarkan keperluan operasi, tahap digitalisasi syarikat dan sifat pekerjaan.

“Pendekatan one-size-fits-all berpotensi menjejaskan kelancaran operasi perniagaan dan daya saing syarikat, terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai kapasiti teknologi serta sumber terhad,” katanya.

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak supaya pengaturan bekerja dari rumah diperluaskan bagi menghadapi ketidaktentuan global selain mengurangkan pergerakan harian rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan tekanan terhadap subsidi bahan api, khususnya RON95.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI memaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan meneliti cadangan bekerja dari rumah bagi sektor awam.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata jika cadangan itu dikaitkan dengan kemungkinan gangguan bekalan tenaga atau peningkatan kos akibat konflik geopolitik di Asia Barat, langkah tersebut bukan penyelesaian utama kepada isu berkenaan.

Katanya, kesan konflik geopolitik lazimnya memberi impak kepada rantaian bekalan global serta meningkatkan kos bahan api dan pengeluaran yang tidak semestinya dapat ditangani melalui pengaturan kerja dari rumah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sekiranya kerajaan mahu menggalakkan WFH, pendekatan yang diambil perlu berbentuk garis panduan fleksibel dan bukannya mandatori.

“Garis panduan itu perlu mengambil kira aspek seperti pengukuran produktiviti, keselamatan data, waktu kerja serta tanggungjawab majikan dan pekerja agar pelaksanaan WFH tidak menimbulkan ketidakpastian perundangan atau isu pengurusan prestasi,” katanya.

Menurut beliau, sebarang cadangan dasar berkaitan peluasan WFH juga perlu dibincangkan menerusi mekanisme dialog tiga pihak antara kerajaan, majikan dan pekerja atau kesatuan bagi memastikan dasar yang diperkenalkan praktikal, realistik serta tidak menambah beban kos atau pentadbiran kepada perniagaan.

+ - reset