TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Mac – Polis mengesahkan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang sedang disiasat dalam beberapa kes berasingan dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan kedua-dua individu berkenaan sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya ketika satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, arahan pertuduhan telah dikeluarkan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Selain itu, katanya, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India turut dirujuk kepada pejabat pendakwaan di Pulau Pinang.

Kes tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, kertas siasatan terhadap Tamim pula membabitkan tindakan merosakkan soolam yang merupakan simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.

Menurutnya, kes berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohd Khalid menegaskan pihak polis komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

+ - reset