Berita Berita
Kerajaan mungkin perlu tanggung subsidi RON95 hingga RM4 bilion - Rafizi
KUALA LUMPUR 14 Mac – Kerajaan berkemungkinan perlu menanggung subsidi petrol RON95 sehingga hampir RM4 bilion sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan selama dua bulan.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, peningkatan kos subsidi itu sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai kerajaan.
Menurut beliau, ketika ini kerajaan menanggung kos subsidi kira-kira RM61 juta sehari, bersamaan lebih RM1.9 bilion sebulan bagi mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95.
“Jumlah ini perlu dibayar kepada syarikat minyak dan secara tidak langsung memberi kesan kepada aliran tunai kerajaan.
“Jadi persoalannya, adakah usaha penyasaran semula subsidi sebelum ini akhirnya menjadi sia-sia? Kalau kita jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita juga berharap supaya perang ini cepat tamat,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri bersama moderator Haziq Azfar Ishak, malam tadi.
Dalam pada itu, Rafizi berkata konflik di Asia Barat juga berpotensi menjejaskan nilai ringgit serta pasaran kewangan negara.
Katanya, walaupun kehidupan harian rakyat Malaysia masih belum terjejas seperti di beberapa negara lain, kesan terhadap ekonomi negara sudah mula dirasai.
“Kesan pertama ialah kepada mata wang. Sebelum ini ringgit semakin mengukuh sehingga sekitar RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Namun selepas tercetusnya perang, pengukuhan itu terhenti dan kini ringgit berada sekitar RM3.93 hingga RM3.95,” katanya.
Beliau berkata, setiap kali berlaku perang atau krisis global, pasaran kewangan lazimnya menjadi tidak menentu dan pelabur akan lebih berhati-hati.
“Biasanya pelabur akan mencari tempat paling selamat untuk melabur dan dolar Amerika Syarikat dianggap paling stabil. Sebab itu, selepas perang tercetus, dolar kembali mengukuh selepas beberapa minggu lemah,” katanya.
Menurut Rafizi, sekiranya konflik berpanjangan, ia juga boleh memberi kesan lebih besar kepada ekonomi negara termasuk kemungkinan kenaikan harga minyak, peningkatan defisit atau lonjakan inflasi.
“Walaupun faktor ini berada di luar kawalan kerajaan, persepsi rakyat biasanya tetap mengaitkan prestasi ekonomi dengan pentadbiran semasa.
“Apabila ekonomi dalam keadaan baik, kerajaan akan mengambil kredit. Jadi apabila keadaan menjadi sukar, kerajaan juga perlu berdepan dengan kesannya,” katanya.
Beliau turut berpandangan sebarang kenaikan harga minyak boleh mempengaruhi pertimbangan politik termasuk masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum.
Katanya, jika harga minyak dinaikkan, keadaan itu mungkin menyukarkan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.
Berita berkaitan
March 14, 2026, 9:31 am
KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM
March 14, 2026, 9:25 am
UMNO Sungai Buloh alu-alukan hasrat Khairy kembali sertai parti
March 14, 2026, 9:11 am
Fadhlina gesa penyebar fitnah lokasi sesi libat urus tampil mohon maaf
March 14, 2026, 9:04 am
Jabatan Mufti Pahang nafi surat tular waktu solat Aidilfitri
March 14, 2026, 1:07 am
Polis sahkan Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand
March 13, 2026, 10:15 pm
Mahkamah arah Yayasan Kubra henti roboh kuil Hindu di Rawang
March 13, 2026, 6:33 pm
Lelaki melecur, gagal selamatkan 27 kucing dalam kebakaran rumah di Langkawi
March 13, 2026, 5:46 pm
