TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Mac – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah hak mutlak pencarum dan bukannya bantuan kerajaan atau hadiah daripada mana-mana pihak.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya mengambil maklum surat dihantar Shahidan Kassim kepada Anwar Ibrahim yang membincangkan cadangan memberi fleksibiliti pengeluaran KWSP termasuk kemungkinan memasukkan dividen ke Akaun Fleksibel atau pengeluaran khas secara sekali sahaja bagi membantu pencarum terkesan.

Menurut beliau, PGIRM menghargai usaha mana-mana Ahli Parlimen yang membawa suara kesusahan rakyat kepada perhatian kerajaan, namun kandungan tertentu dalam surat berkenaan menimbulkan perbincangan dalam kalangan pencarum.

Katanya, isu kesusahan kewangan rakyat tidak wajar dibandingkan dengan bonus atau insentif yang diterima penjawat awam serta sebahagian pekerja sektor swasta.

“KWSP adalah wang simpanan pencarum sendiri. Ia bukan bantuan kerajaan dan bukan hadiah mana-mana pihak. Wang ini adalah hasil titik peluh rakyat yang disimpan untuk masa depan mereka.

“Fleksibiliti pengeluaran pula perlu dilaksanakan secara bersasar. Ia bukan bertujuan menghabiskan simpanan, sebaliknya sebagai respons kepada tekanan kewangan nyata seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan tidak menentu dan komitmen hutang isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, suara pencarum perlu diberi perhatian dengan pendekatan yang adil, telus dan bersasar tanpa menjejaskan simpanan persaraan jangka panjang.

“Rakyat tidak mahu perbandingan antara kumpulan pekerjaan. Yang mereka mahukan ialah pendekatan yang adil, telus dan bersasar.

“Pencarum tidak meminta sedekah. Mereka hanya menuntut hak terhadap wang simpanan sendiri yang merupakan hasil kerja keras bertahun-tahun,” katanya.

+ - reset