Berita Berita
UMNO Sungai Buloh alu-alukan hasrat Khairy kembali sertai parti
KUALA LUMPUR 14 Mac – Hasrat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai UMNO dialu-alukan kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Buloh sekiranya perkara itu menjadi kenyataan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh, Halimaton Saadiah Bohan berkata, pihaknya terbuka menerima kepulangan Khairy atau KJ bagi memperkukuh perjuangan parti di bawah gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, perkara itu dizahirkan ketika menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar bersama Khairy yang berlangsung di Kota Damansara dekat Sungai Buloh semalam.
“Jika benar hasrat beliau untuk kembali kepada UMNO, kami di UMNO Bahagian Sungai Buloh amat mengalu-alukan kehadiran beliau di sini.
“Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Majlis tersebut dianjurkan Kelab Rekreasi Sungai Buloh dengan kerjasama Westports Holdings Berhad dan Shopee Malaysia.
Pada majlis sama, lebih 100 golongan asnaf dari Cawangan Seksyen 7 dan Seksyen 8 turut menerima sumbangan barangan keperluan asas serta wang saku bagi membantu meringankan beban sepanjang Ramadan.
Halimaton berkata, suasana majlis yang santai tetapi penuh bermakna itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam semangat ukhuwah sempena bulan Ramadan.
Minggu lalu, selepas empat tahun dipecat, bekas Ketua Pemuda UMNO itu secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti menerusi agenda Rumah Bangsa.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menerusi petikan audio siar Keluar Sekejap turut mengarahkan setiausaha akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.
Beliau berharap usaha itu dipermudah dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh semula kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy selain menggantung keahlian Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.
Antara kesalahan mereka termasuk menjadi calon Bebas atau calon selain Barisan Nasional serta membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15.
Berita berkaitan
March 14, 2026, 9:31 am
KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM
March 14, 2026, 9:18 am
Kerajaan mungkin perlu tanggung subsidi RON95 hingga RM4 bilion - Rafizi
March 14, 2026, 9:11 am
Fadhlina gesa penyebar fitnah lokasi sesi libat urus tampil mohon maaf
March 14, 2026, 9:04 am
Jabatan Mufti Pahang nafi surat tular waktu solat Aidilfitri
March 14, 2026, 1:07 am
Polis sahkan Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand
March 13, 2026, 10:15 pm
Mahkamah arah Yayasan Kubra henti roboh kuil Hindu di Rawang
March 13, 2026, 6:33 pm
Lelaki melecur, gagal selamatkan 27 kucing dalam kebakaran rumah di Langkawi
March 13, 2026, 5:46 pm
