Berita Berita
Mulut berdarah dan muka bengkak, guru besar ditahan disyaki pukul murid Tahun Satu di JB
JOHOR BAHRU 14 Mac - Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di daerah ini ditahan polis bagi membantu siasatan selepas disyaki memukul seorang murid Tahun Satu sehingga cedera.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek lelaki berusia 48 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa.
Beliau berkata, suspek dipercayai memukul murid lelaki berusia tujuh tahun itu di kantin sekolah kira-kira jam 7.39 pagi pada Selasa lalu.
"Pada 10 Mac lalu, jam 9.46 pagi, kita menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun memaklumkan anak lelakinya berusia tujuh tahun dipukul oleh suspek iaitu guru besar di sekolah tempat anaknya belajar.
"Bertindak atas maklumat, pada jam 4.55 petang, polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Radin Ramlan, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan dia negatif dadah.
Katanya, suspek direman selama tiga hari sehingga semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh ibu saudara mangsa memaparkan keadaan kanak-kanak itu ketika ditemui di tandas sekolah.
Menurut hantaran itu, mangsa ke sekolah seperti biasa pada hari kejadian selepas dihantar oleh abang kandungnya sebelum keluarga menerima panggilan beberapa jam kemudian memaklumkan kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan cedera.
"Kakak saya dan suaminya terus bergegas ke sekolah dan mendapati anak mereka dalam keadaan trauma, dengan luka dan darah di bahagian mulut serta muka yang bengkak.
"Anak saudara saya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut.
"Dia memberitahu dipukul oleh guru besar sekolah," tulisnya.
Berita berkaitan
March 14, 2026, 4:46 pm
'Kenapa saya nak lari? Saya ada buat salah apa?' - Zamri Vinoth
March 14, 2026, 9:31 am
KWSP hak pencarum, bukan bantuan kerajaan – PGIRM
March 14, 2026, 9:25 am
UMNO Sungai Buloh alu-alukan hasrat Khairy kembali sertai parti
March 14, 2026, 9:18 am
Kerajaan mungkin perlu tanggung subsidi RON95 hingga RM4 bilion - Rafizi
March 14, 2026, 9:11 am
Fadhlina gesa penyebar fitnah lokasi sesi libat urus tampil mohon maaf
March 14, 2026, 9:04 am
Jabatan Mufti Pahang nafi surat tular waktu solat Aidilfitri
March 14, 2026, 1:07 am
Polis sahkan Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand
March 13, 2026, 10:15 pm
