TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua mat rempit buat aksi ‘Superman’ dicekup

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 15 Mac — Dua lelaki dipercayai mat rempit dicekup polis selepas berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Kilometer 63 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Pasal dalam Ops Samseng Jalanan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, Pasukan Penguat Kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi sebelum itu menjalankan pemantauan terhadap aktiviti samseng jalanan di jalan berkenaan.

“Semasa di jalan tersebut, pihak polis melihat dan mengekori dua lelaki yang menunggang motosikal jenis RXZ melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kaki atau ‘Superman’.

“Mereka juga berlumba sesama sendiri dari kilometer 63 hingga kilometer 64 dan aksi tersebut amat berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

+ - reset