TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cuti tambahan Aidilfitri turut terpakai kepada pekerja swasta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kementerian Sumber Manusia memaklumkan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan Anwar Ibrahim turut dikategorikan sebagai hari kelepasan am dan terpakai kepada pekerja sektor swasta.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan cuti berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 yang memberi kuasa kepada kerajaan mengisytiharkan hari kelepasan am, tertakluk kepada Akta Kerja 1955.

Dalam kenyataan hari ini, KESUMA menjelaskan majikan boleh menggantikan hari kelepasan am tersebut dengan mana-mana hari lain sebagai cuti am bergaji, namun perlu memaklumkan pengaturan itu kepada pekerja sama ada cuti diberikan pada tarikh diisytiharkan atau diganti ke hari lain yang sesuai.

Menurut kementerian itu, sekiranya pekerja diarahkan bertugas pada hari kelepasan am berkenaan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja pada hari cuti umum seperti diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955.

KESUMA turut menyeru majikan agar mempertimbangkan pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian amalan pekerjaan prihatin yang menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

Katanya, sambutan Aidilfitri merupakan masa bermakna untuk pekerja meluangkan masa bersama keluarga dan orang tersayang, justeru kelonggaran cuti dapat membantu mereka meraikan perayaan dalam suasana lebih harmoni dan sejahtera.

Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan juga selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keseimbangan hidup dan kerja selain mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif.

KESUMA berpandangan sikap bertolak ansur antara majikan dan pekerja mampu menyumbang kepada hubungan perusahaan lebih harmoni serta meningkatkan motivasi dan produktiviti tenaga kerja negara.

Terdahulu, Anwar mengumumkan cuti am tambahan sehari sempena Aidilfitri sama ada pada Jumaat atau Isnin berikutnya, bergantung kepada tarikh 1 Syawal.

Jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat, cuti tambahan diberikan pada Isnin, 23 Mac, manakala jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, cuti tambahan ditetapkan pada Jumaat, 20 Mac.

+ - reset