TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HRD Corp salur lebih RM130,000 bantu 1,000 penerima melalui Ziarah MADANI Ihya Ramadan

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 16 Mac - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyalurkan sumbangan melebihi RM130,000 kepada kira-kira 1,000 penerima menerusi program Ziarah MADANI Ihya Ramadan 2026 bagi membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan, sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

Dalam program tersebut, sebanyak 700 bekas bubur lambuk diagihkan kepada komuniti setempat sebelum penyampaian 1,000 Bakul MADANI yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.

Selain itu, sumbangan berjumlah RM20,000 turut disampaikan kepada tiga rumah anak yatim dan sebuah pusat tahfiz sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan HRD Corp dalam menyokong kesejahteraan masyarakat.

Dalam ucapannya, Ramanan berkata inisiatif seperti program Ziarah MADANI Ihya Ramadan mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras kepada konsep Malaysia MADANI.

“Kita lihat baru-baru ini juga banyak aktiviti yang sedang berjalan di seluruh negara. Program-program kebajikan, program-program menaik taraf ekonomi negara dari segi pekerjaan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedang dilaksanakan dan Akta Pekerja Gig yang baru adalah untuk menyelamatkan perlindungan sosial pekerja-pekerja gig, platform e-hailing dan sebagainya.”

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Shamir Aziz berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen agensi itu dalam memastikan pembangunan modal insan turut memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Kami percaya pembangunan kemahiran bukan sekadar soal pekerjaan, tetapi tentang membuka peluang kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.”

Program berkenaan turut diisi dengan aktiviti penyediaan dan agihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat serta sesi tazkirah yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Dr. Mohd Shaharin Umar; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan, pemimpin komuniti dan wakil media.

Melalui usaha yang menggabungkan pembangunan kemahiran dan penglibatan komuniti seperti program ini, HRD Corp akan terus memperkasa rakyat dalam membina peluang yang lebih baik untuk diri dan keluarga.

 

+ - reset