TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan Melaka siasat caj parkir RM183 di pasar borong

By
|
Kongsi
image

MELAKA 16 Mac – Kerajaan negeri mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir sebanyak RM183 di Pasar Borong Melaka yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kini menunggu penjelasan daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

Menurutnya, pasar borong berkenaan berada di bawah pentadbiran MPHTJ dan punca sebenar kejadian masih dalam penelitian pihak berkuasa tempatan terbabit.

“Saya sudah semak dengan MPHTJ dan difahamkan mereka sedang meneliti kes ini untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

“Sekiranya didapati berlaku kesilapan daripada pihak pengendali sistem parkir, sudah tentu wang tersebut akan dipulangkan semula kepada individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Glam Bazar Ramadan Klebang yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Klebang malam tadi.

Terdahulu, seorang wanita berkongsi di media sosial mengenai caj parkir RM183.38 yang dikenakan ketika keluar dari parkir pasar borong berkenaan pada Sabtu lalu.

Menurut dakwaannya, pada mulanya dia menggunakan kad bank milik suaminya untuk membuat bayaran dan sistem memaparkan caj RM2.12 sebelum bertukar kepada status tidak sah.

Wanita itu berkata, selepas diminta kakitangan parkir menggunakan kad lain, dia menggunakan kad miliknya sebelum sistem memaparkan caj RM183.38 yang kemudian ditolak terus daripada akaun bank.

+ - reset