TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menjuman ke satu bintang, ASEAN NCAP tarik balik penarafan 5 bintang Proton X90 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Mac - Penarafan keselamatan Proton X90 yang sebelum ini menerima penarafan 5-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) kini ditarik balik selepas model facelift 2026 didapati tidak lagi dilengkapi beberapa sistem keselamatan penting.

Perkembangan itu diumumkan ASEAN NCAP yang memaklumkan bahawa model X90 terkini hanya memperoleh penarafan keseluruhan 1-bintang selepas semakan semula spesifikasi kenderaan tersebut.

Menurut ASEAN NCAP, model asal Proton X90 yang dilancarkan pada 2023 sebelum ini mencapai skor keseluruhan 83.79 mata di bawah protokol penilaian 2021–2025, sekali gus melayakkannya menerima penarafan keselamatan maksimum 5-bintang.

Skor tersebut merangkumi prestasi dalam beberapa kategori utama iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75 mata), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (17.79 mata), Bantuan Keselamatan (15.71 mata) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50 mata).

Bagaimanapun, semakan ke atas spesifikasi Proton X90 facelift 2026 mendapati beberapa teknologi Sistem Bantuan Pemandu Proaktif ( ADAS) yang sebelum ini menjadi ciri penting dikeluarkan daripada model terbaharu tersebut.

Antara teknologi yang tidak lagi ditawarkan termasuk Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Teknologi Titik Buta (BST) yang sebelum ini merupakan ciri standard.

ASEAN NCAP menjelaskan bahawa di bawah protokol penilaian 2021–2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan boleh dihadkan sekiranya prestasinya lemah dalam mana-mana kategori penting bagi memastikan tahap perlindungan menyeluruh kepada pengguna jalan raya.

Ketiadaan beberapa sistem ADAS berkenaan menyebabkan skor dalam kategori Bantuan Keselamatan (SA) menurun, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang bergantung kepada teknologi pengesanan titik buta merosot dengan ketara sehingga hanya memperoleh 1-bintang.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Profesor Madya Ir Ts Dr Siti Zaharah Ishak berkata, pihaknya kesal dengan keputusan pengeluar untuk menyingkirkan teknologi keselamatan yang terbukti mampu mengurangkan risiko kemalangan.

"Keselamatan tidak seharusnya dikompromi. Teknologi ADAS memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna jalan raya dan pengeluar perlu memastikan ciri tersebut terus ditawarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Teknikal ASEAN NCAP, Ts Yahaya Ahmad berkata, teknologi Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD) memainkan peranan penting dalam penilaian keselamatan penunggang motosikal.

"Penyingkiran BSD bersama beberapa sistem bantuan pemandu lain menyebabkan mata yang sebelum ini menyumbang kepada penarafan tertinggi X90 hilang. Keselamatan seharusnya boleh diakses oleh semua dan bukan dijadikan ciri mewah yang terhad kepada varian tertentu," katanya.

Dalam masa sama, ASEAN NCAP menegaskan bahawa penarafan 5-bintang sebelum ini hanya terpakai kepada Proton X90 yang dihasilkan antara 2023 hingga 2025, dan pengguna dinasihatkan menyemak spesifikasi keselamatan setiap varian sebelum membuat keputusan pembelian.

+ - reset