TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada pakej rangsangan ekonomi setakat ini susulan konflik Asia Barat - Amir Hamzah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata pendekatan semasa kerajaan adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek bagi memastikan kestabilan ekonomi negara sambil memantau perkembangan semasa yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.

"Saya rasa yang penting kita belum mengetahui sama ada krisis di Timur Tengah akan berlanjutan atau tidak. Kalau ia tidak berlanjutan, saya rasa tiada keperluan untuk melaksanakan sesuatu seperti itu (pakej rangsangan ekonomi).

"Buat masa sekarang, pendekatan kita ialah melihat dari segi jangka masa pendek, memastikan kestabilan yang ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan turut mengambil kira pergerakan rakyat ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan terhadap bahan api.

Beliau berkata syarikat minyak mempunyai pengalaman menguruskan situasi berkenaan setiap tahun dengan mengambil langkah proaktif termasuk menambah bekalan serta menempatkan lebih banyak tangki simpanan di kawasan yang mencatatkan penggunaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus.

"Pendekatan kerajaan adalah untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Kita bekerjasama dengan agensi di bawah kerajaan untuk memastikan bekalan kekal stabil.

"Petronas dan syarikat minyak serta tenaga lain akan terus melihat untuk menambah stok yang ada bagi menggantikan bekalan yang digunakan dalam negara," katanya.

Beliau berkata pada masa ini pendekatan kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan pada masa yang sama menggesa orang ramai serta syarikat tempatan mengambil langkah berwaspada.

"Jika terdapat cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga atau penggunaan barangan lain yang mungkin terkesan dalam situasi ini, ia akan membantu.

"Kita harus faham, impak ini bukan sahaja terhadap Malaysia malah, di seluruh dunia," katanya.

Sebelum ini, Amir Hamzah berkata kerajaan menanggung subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion sebulan bagi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.

Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sebelum Tehran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.

Ketegangan tersebut turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan itu.

Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.

+ - reset