TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KJ serah surat rayuan kembali sertai UMNO

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semalam menyerahkan surat rayuan bagi kembali menyertai UMNO.

Perkara itu dikongsikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kehadiran Khairy pada malam ke-26 Ramadan itu sebagai antara makna sebenar inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Menurutnya, Rumah Bangsa merupakan usaha untuk menemukan semula mereka yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan serta menghimpunkan semula ahli-ahli UMNO dalam satu keluarga besar perjuangan.

“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.

“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut.

“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap inisiatif Rumah Bangsa dapat menjadi asas untuk mempertemukan kembali pihak yang pernah terpisah, sekali gus memperkukuh saf perjuangan serta mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO menerusi agenda Rumah Bangsa.

Berdasarkan petikan audio siar Keluar Sekejap, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan itu.

Keputusan tersebut dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini bahawa parti berkenaan membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

+ - reset