TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Madinatul Al-Quran dirancang jadi pusat pengajian dan penyelidikan serantau - PM

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 16 Mac – Kerajaan merancang memperkembangkan fungsi Madinatul Al-Quran sebagai pusat pengajian serta penyelidikan al-Quran di peringkat serantau menerusi kerjasama dengan beberapa pihak berkaitan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, perancangan itu akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama Yayasan Restu serta pihak berkepentingan lain.

Menurutnya, pengembangan fungsi Madinatul Al-Quran berpotensi menjadi projek ummah yang melibatkan penyertaan masyarakat Islam dari dalam dan luar negara.

“Ada satu idea yang baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menjadikan ini projek ummah, dalam negara dan luar.

“Dan menjadikan ini suatu bukan saja gedung, tetapi pengisian yang jauh lebih besar daripada yang direncanakan supaya ia mungkin menjadi bukan saja pusat pencetakan Mushaf tetapi sebagai pusat pengajian, institusi penyelidikan utama di rantau ini.

“Mungkin kita boleh kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan juga universiti-universiti tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nashrul Al-Quran di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Yayasan Restu, Ahmad Maslan berkata, Madinatul Al-Quran dijangka siap pada awal 2028 di Putrajaya dan bakal menjadi pusat pembelajaran, keindahan syiar, penemuan saintifik serta pendidikan Islam berteraskan al-Quran.

Sementara itu, mengenai pelancaran Mushaf Malaysia Madani, ia merupakan sebahagian daripada program tadabbur al-Quran peringkat kebangsaan serta antara mushaf al-Quran hibrid terawal di Malaysia yang menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam tempatan dengan inovasi digital.

Pendekatan tersebut membolehkan masyarakat menghayati al-Quran secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut Yayasan Restu, proses penyalinan mushaf itu mengambil masa hampir lima tahun dan dikendalikan oleh penulis khat berpengalaman dari yayasan berkenaan, Abdul Baki Abu Bakar yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun termasuk terlibat dalam penyalinan Mushaf Malaysia pada tahun 1995.

“Setiap helaian dihasilkan dengan ketelitian tinggi bagi memastikan kesempurnaan kandungan al-Quran terus terpelihara.

“Pasukan digital yang diketuai oleh Arif Azamuddin Rochi turut membangunkan sistem kandungan interaktif bersama integrasi kod QR.

“Melalui kemudahan ini, pembaca dapat mengakses terjemahan pelbagai bahasa, terjemahan perkataan demi perkataan, panduan tajwid, asbab al-nuzul serta penerangan berkaitan elemen STEM yang berkait dengan ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Mushaf ini juga menampilkan audio tilawah yang dibacakan oleh Ahmad ‘Isa al-Ma’sarawi dari Mesir, seorang pakar qiraat bertaraf antarabangsa.

Selain itu, Afeefuddin al-Jailani berperanan sebagai penasihat al-Quran antarabangsa bagi memastikan ketepatan kandungan serta penyelarasan terjemahan dalam pelbagai bahasa.

Cetakan pertama mushaf tersebut akan dikeluarkan sebanyak 20,000 naskhah manakala proses pengagihan dijangka mengambil masa sekitar dua bulan.

+ - reset