Berita Berita
Wanita tekejut temui kamera pengintip tersembunyi dalam jambangan bunga konvokesyen
KUALA LUMPUR 16 Mac – Seorang wanita tidak menyangka menemui kamera pengintip yang disembunyikan dalam jambangan bunga yang diterimanya ketika konvokesyen di sebuah universiti awam pada November lalu.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anne, 26, berkata kewujudan peranti itu disedari kira-kira tiga bulan selepas menerima jambangan bunga berkenaan apabila kakaknya mendapati telefon bimbit suaminya tersambung secara automatik melalui Bluetooth kepada satu peranti dengan nama yang pelik dan panjang.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan rasa curiga sebelum mereka cuba menyambung peranti berkenaan.
"Telefon itu memang selalu dipegang oleh kakak saya walaupun ia milik suaminya. Apabila cuba menyambung kepada peranti itu, terdapat arahan untuk memuat turun aplikasi kamera dikenali sebagai IWF Camera.
"Selepas aplikasi dimuat turun, skrin telefon terus memaparkan rakaman langsung keadaan di dalam bilik tidur saya yang menunjukkan katil serta kipas yang sedang berpusing," katanya.
Anne berkata, jambangan bunga itu sebelum ini diletakkan di dalam biliknya dan berada berhadapan dengan katil.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kamera berkenaan bersaiz sangat kecil serta mempunyai lampu merah sebagai penunjuk operasi.
Lebih mengejutkan, bahagian yang disangkakan sebagai span bunga sebenarnya bank kuasa yang berfungsi membekalkan tenaga kepada kamera berkenaan.
"Peranti itu menggunakan sambungan Wi-Fi untuk mengakses rakaman dan ia disembunyikan dengan sangat kemas dalam jambangan bunga," katanya.
Berikutan penemuan itu, Anne membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bersama kakaknya.
Menurutnya, pihak polis turut hadir ke rumah mereka bagi melihat lokasi jambangan bunga itu diletakkan serta mengambil gambar sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Anne berkata pegawai penyiasat turut memaklumkan bahawa ini adalah kes pertama membabitkan penemuan kamera tersembunyi dalam jambangan bunga yang dikendalikan pihak mereka.
Katanya, pihak polis berpandangan kemungkinan peranti itu dipasang oleh pembekal luar yang membekalkan stok jambangan bunga kepada vendor.
Mangsa mendakwa jambangan bunga itu dibeli di kawasan berlangsungnya istiadat konvokesyen.
Jambangan bunga bersama kamera tersebut kini berada dalam simpanan pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Anne berkata beliau pada mulanya berkongsi pengalaman tersebut di platform Threads namun terpaksa memadam hantaran itu selepas menerima pelbagai komen negatif daripada warganet.
Menurutnya, ada pihak membuat tuduhan tidak berasas dengan mengaitkan ahli keluarganya sendiri termasuk abang ipar serta anak buahnya yang berusia 11 tahun.
"Tidak logik untuk menuduh anak buah saya yang meletakkan kamera itu walaupun bunga itu diberikan olehnya, kerana sebenarnya saya sendiri yang meminta ibunya, iaitu kakak saya, membelinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Berita berkaitan
March 17, 2026, 5:53 pm
Polis buru lelaki belasah isteri, langgar kepala guna motosikal hingga cedera
March 17, 2026, 4:54 pm
Lelaki ‘naik minyak’ tetak rakan sekerja selepas ditegur nasi belum masak
March 17, 2026, 4:18 pm
Anwar gesa pintu Masjid Al-Aqsa dibuka segera
March 17, 2026, 4:12 pm
Cadangan WFH penjawat awam tidak libat sektor pendidikan, kesihatan buat masa ini
March 17, 2026, 3:54 pm
Malaysia sambut baik Intel mula operasi kompleks pembungkusan termaju
March 17, 2026, 3:43 pm
Anggota tentera wanita dipenjara tujuh tahun kes amang seksual anak
March 17, 2026, 3:22 pm
Zamri Vinoth dibebas dengan ikat jamin RM4,500
March 17, 2026, 3:19 pm
DBKL bakal lancar portal digital baharu, percepat kelulusan perniagaan tanpa kerenah birokrasi
March 17, 2026, 3:13 pm
