TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebihan makanan bazar punca sisa domestik meningkat di Kuala Lumpur

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kutipan sisa domestik sepanjang 1 hingga 25 Ramadan di ibu negara mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 45,108.31 tan metrik berbanding 36,797.55 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.

Data yang dikeluarkan Alam Flora Sdn. Bhd. menunjukkan jumlah itu meningkat kira-kira 23 peratus, sekali gus menggambarkan pertambahan penghasilan sisa terutama sepanjang bulan Ramadan.

Bagi Putrajaya, jumlah kutipan sisa domestik direkodkan sebanyak 2,793.04 tan metrik dalam tempoh sama, sedikit menurun sekitar dua peratus berbanding 2,861.36 tan metrik tahun lalu.

Sementara itu, Pahang mencatatkan kutipan sebanyak 13,618.59 tan metrik, iaitu penurunan kira-kira 28 peratus berbanding 18,841.18 tan metrik pada Ramadan tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, makanan tidak habis atau berlebihan yang dijual di bazar Ramadan dikenal pasti antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah sisa.

Menurutnya, selain sisa makanan, plastik bungkusan dan bekas polistirena turut menyumbang kepada pertambahan sisa domestik sepanjang tempoh berkenaan.

“Melalui kempen Tapau Elak Sisa, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan tiffin.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa, malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik antara 2024 hingga 2026, trend kutipan sisa pepejal sepanjang Ramadan menunjukkan peningkatan ketara terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur.

Katanya, sehingga 60 peratus sisa makanan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya orang ramai mengamalkan perancangan pembelian serta kaedah penyimpanan makanan yang betul.

“Kerjasama semua pihak diperlukan untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

“Sisa makanan dan sisa kitar semula perlu diasingkan, diikat kemas dalam beg plastik sesuai dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan selaras dengan program pengasingan sisa dari punca oleh kerajaan,” katanya.

Alam Flora turut menyeru orang ramai menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan syarikat itu di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam bagi menyalurkan maklumat berkaitan tahap kebersihan di kawasan masing-masing. 

+ - reset