TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penyalahgunaan lorong kecemasan meningkat, JPJ perketat pemantauan sempena Aidilfitri

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 17 Mac - Lebih 12,000 pemandu dikesan menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya sejak 2023, sekali gus mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan amaran menjelang musim perjalanan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 12,164 kes direkodkan dari tahun 2023 hingga Februari lalu.

Menurutnya, bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 689 kes telah dikesan.

Beliau menjelaskan, kesalahan menggunakan lorong kecemasan kekal antara pelanggaran trafik paling kerap berlaku, khususnya ketika musim perayaan apabila jumlah kenderaan meningkat.

“Lorong kecemasan hanya dikhaskan untuk situasi kecemasan seperti kenderaan rosak atau laluan perkhidmatan kecemasan termasuk ambulans,” katanya selepas merasmikan majlis berbuka puasa bersama media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi serta Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.

Aedy menegaskan, pemandu tidak seharusnya menjadikan lorong kecemasan sebagai jalan pintas untuk mengelak kesesakan, terutamanya ketika aliran trafik tinggi sempena Aidilfitri.

Sehubungan itu, JPJ akan menggerakkan pasukan penguat kuasa di seluruh negara menerusi Ops Hari Raya bagi memantau kesalahan trafik termasuk penyalahgunaan lorong kecemasan.

Katanya, unit rondaan lebuh raya JPJ akan terus melakukan pemantauan di laluan utama sepanjang tempoh perayaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

Selain itu, anggota penguat kuasa turut ditempatkan di lokasi strategik bagi mengesan kesalahan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menggunakan lorong kecemasan boleh menghalang pergerakan kenderaan bantuan dan melambatkan usaha menyelamat dalam situasi kecemasan.

JPJ juga akan bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif keselamatan jalan raya di bawah Ops Hari Raya.

Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

JPJ menjangkakan peningkatan ketara perjalanan jarak jauh apabila jutaan rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

+ - reset