Berita Berita
Zamri Vinoth didakwa muat naik kenyataan cetus kegentaran awam di Facebook
KUALA LUMPUR 17 Mac – Seorang pendakwah bebas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik kenyataan di Facebook yang boleh menimbulkan kegentaran awam, bulan lalu.
Tertuduh, Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
“Tidak bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya yang mungkin menimbulkan kegentaran awam sehingga mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu didakwa dimuat naik pada pukul 12.22 tengah hari, 3 Februari lalu dan dilihat oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Sehubungan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail bersama Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Puad, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusof.
Semalam, Mohd Khalid Ismail memaklumkan siasatan terhadap empat individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu agama dan perkauman telah selesai dan mereka akan didakwa di mahkamah.
Menurut Ketua Polis Negara itu, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Berita berkaitan
March 17, 2026, 11:51 am
Mahendra didakwa tohmah masjid sebagai haram di Facebook
March 17, 2026, 10:12 am
Turunkan gred kelas penerbangan menteri, pegawai kerajaan untuk lebih jimat - Lee Lam Thye
March 17, 2026, 9:38 am
Dasar harga lantai e-hailing dipersoal, pemandu berdepan risiko eksploitasi
March 17, 2026, 9:29 am
Program Tekad perkasa suara pelajar, rapatkan jurang pendidikan
March 17, 2026, 9:14 am
Penyalahgunaan lorong kecemasan meningkat, JPJ perketat pemantauan sempena Aidilfitri
March 17, 2026, 8:57 am
Empat individu termasuk Zamri Vinoth didakwa hari ini
March 17, 2026, 8:41 am
Penduduk Selangor solat sunat Aidilfitri 8 pagi jika Jumaat, 8.30 pagi jika Sabtu
March 17, 2026, 8:39 am
Pemandu pikap rentung dalam nahas dengan treler di Lebuh Raya Utara-Selatan
March 16, 2026, 11:23 pm
