TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Turunkan gred kelas penerbangan menteri, pegawai kerajaan untuk lebih jimat - Lee Lam Thye

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Mac – Aktivis sosial, Lee Lam Thye mencadangkan kerajaan menurunkan gred kelas penerbangan bagi lawatan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan pegawai kanan sebagai langkah penjimatan.

Beliau berkata saranan itu selaras dengan pendekatan perbelanjaan berhemah susulan konflik di Asia Barat yang berlarutan hampir tiga minggu.

Menurutnya, kelas penerbangan wajar diturunkan daripada kelas pertama kepada kelas perniagaan sekiranya lawatan rasmi perlu dilakukan.

Delegasi rasmi juga disaran dihadkan kepada kumpulan kecil dan benar-benar diperlukan supaya lawatan lebih berfokus serta menjimatkan kos.

"Penganjuran mesyuarat juga wajar dilaksanakan secara maya, selain platform digital perlu diperluaskan bagi mengurangkan perbelanjaan perjalanan dalam usaha melakukan penjimatan ini.

"Kementerian dan agensi kerajaan juga boleh menilai semula perbelanjaan lain bersifat tidak mendesak bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara cekap serta bertanggungjawab.

"Langkah ini akan meningkatkan keyakinan rakyat yang kerajaan benar-benar komited terhadap disiplin kewangan serta sanggup memimpin melalui teladan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

"Pengurusan sumber negara secara berhemah hari ini, akan membantu memastikan negara kekal berdaya tahan dan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menetapkan semua kementerian, jabatan serta syarikat berkaitan kerajaan tidak menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata keputusan itu dipersetujui Kabinet sebagai langkah berjimat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat, selain memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited terhadap perbelanjaan berhemah.

Selain itu, menteri dan anggota pentadbiran turut dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.

Dalam pada itu, Lee turut mengalu-alukan langkah perbelanjaan berhemah yang diperkenalkan kerajaan dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya serta bertanggungjawab.

Katanya, ketidaktentuan global terutama krisis berterusan di Asia Barat memberi kesan kepada kestabilan ekonomi, harga tenaga dan kos sara hidup.

"Ketika ramai rakyat sedang mengikat perut dan berjimat cermat, adalah wajar bagi kerajaan untuk turut menunjukkan sikap berhemah serta disiplin fiskal dalam pengurusan dana awam.

"Langkah ini memberi isyarat positif yang kerajaan menyedari keperluan mengutamakan perbelanjaan benar-benar penting dan memastikan sumber negara disalurkan kepada program memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

+ - reset