TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Sebenarnya, kita hidup dalam negara harmoni...' - NGO Melayu, India sepakat cari jalan damai redakan isu perkauman

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 18 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India menggesa semua pihak segera menoktahkan isu perkauman dengan mencari titik perdamaian secara menyeluruh melalui rundingan.

Seruan itu dicapai menerusi sesi dialog membabitkan beberapa NGO di bawah Program Harmoni MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berbincang secara langsung tanpa dipengaruhi provokasi pihak luar.

“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.

“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog berkenaan.

Menurutnya, rundingan pusingan pertama itu membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India yang komited mencari penyelesaian secara harmoni.

Sementara itu, Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), N Sivakumar berkata, pertemuan itu penting dalam usaha meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian damai antara kedua-dua komuniti.

Beliau berkata, antara cadangan dikemukakan termasuk penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat.

“Kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin.

“Kita juga mencadangkan audit tanah untuk mendapatkan data yang jelas,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu menolak provokasi segelintir individu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Sebenarnya, kita hidup dalam negara yang harmoni, namun disebabkan segelintir pihak, perpaduan itu tergugat. Kita perlu ketepikan perkara itu dan fokus kepada perdamaian,” katanya.

Terdahulu, sesi dialog tertutup yang berlangsung selama empat jam itu turut dihadiri beberapa tokoh termasuk Zamri Vinoth, S Chandrasegaran, Firdaus Wong dan Kumaresan Jothi.

+ - reset