TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO Negeri Sembilan belum terima permohonan Rais untuk kembali ke parti

By
|
Kongsi
image

JELEBU, 18 Mac - UMNO Negeri Sembilan belum menerima sebarang permohonan daripada bekas Ahli Parlimen Jelebu, Rais Yatim untuk menyertai semula parti itu.

Pengerusinya, Jalaludin Alias berkata, setakat ini hanya terdapat khabar angin mengenai hasrat bekas anggota Kabinet itu untuk kembali, namun tiada permohonan rasmi diterima.

Menurutnya, UMNO bersikap terbuka sekiranya Rais berhasrat menyertai semula parti, namun perlu melalui proses permohonan yang ditetapkan.

“Sekiranya benar beliau ingin kembali, UMNO mengalu-alukan dan tiada halangan, tetapi permohonan perlu dibuat mengikut prosedur sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Program Mantai Rayo peringkat Dewan Undangan Negeri Pertang, hari ini.

Beliau turut memaklumkan terdapat maklumat bahawa Rais mungkin telah meninggalkan BERSATU, namun perkara itu belum disahkan secara rasmi.

Rais sebelum ini menyertai BERSATU pada 4 Jun 2018 yang secara automatik menamatkan keahliannya dalam UMNO. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan serta Yang di-Pertua Dewan Negara dari 2020 hingga 2023.

Dalam perkembangan lain, Jalaludin berkata UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan mesyuarat pada 14 April ini bagi membincangkan permohonan bekas ahli yang digantung dan dipecat untuk kembali menyertai parti.

Antara yang terlibat termasuk bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif.

Katanya, parti berharap semua isu dapat diselesaikan segera sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 serta memperkukuh kembali kekuatan UMNO.

+ - reset