TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan bayi maut di taska akibat lemas, siasatan lanjut diteruskan

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 18 Mac – Punca kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska 24 jam di kawasan Hospital Seberang Jaya minggu lalu disahkan akibat lemas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata, dapatan awal bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas, manakala siasatan kes masih diteruskan.

Menurutnya, kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, siasatan masih berjalan dan beberapa aspek penting sedang diperhalusi,” katanya ketika ditemui pada program Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 peringkat kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, dua pekerja taska berusia 31 tahun direman selama tujuh hari bermula 10 Mac bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemukan tidak sedarkan diri di taska terbabit pada awal pagi Isnin sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

Ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang juga seorang jururawat, menerima panggilan memaklumkan keadaan anaknya yang bertukar kebiruan ketika bertugas syif malam.

Pasukan perubatan kemudian menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam, namun bayi tersebut gagal diselamatkan.

Difahamkan, bayi berkenaan baru sahaja dihantar ke taska itu selepas ibunya kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi tersebut.

+ - reset