TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Selangor seru rakyat berjimat hadapi ketidaktentuan ekonomi global

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berbelanja secara berhemah dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi susulan krisis global.

Menerusi kenyataan Istana Alam Shah, baginda bertitah langkah berjaga-jaga itu penting sebagai persediaan awal terhadap kesan ekonomi yang mungkin berlaku.

Menurut baginda, perkembangan semasa di peringkat global termasuk konflik dan peperangan di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, namun kita tidak boleh leka dan lalai.

“Beta mahu umat Islam terus memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan serta mengelakkan sebarang pertelingkahan sesama sendiri.

“Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran,” titah baginda.

Baginda turut berharap seluruh rakyat termasuk pemimpin, ahli politik dan masyarakat umum memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri serta memakmurkan negara.

Dalam perutusan sempena Aidilfitri 1447H itu, Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan kesyukuran kerana sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan dalam suasana aman dan harmoni di Selangor.

Baginda turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia serta berharap sambutan itu membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan silaturahim. 

+ - reset