TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cuaca panas tahap dua di Kedah, 14 kawasan lain pada tahap berjaga-jaga

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 23 Mac Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah kini berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia berkata sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis serta beberapa kawasan di Kedah seperti Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.

Amaran sama turut melibatkan kawasan Timur Laut di Pulau Pinang, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, Jerantut di Pahang serta Rembau di Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga pula melibatkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia.

Sementara itu, MetMalaysia turut merakamkan ucapan sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia yang disambut hari ini dengan tema ‘Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok’.

Menurut jabatan itu, tema berkenaan menekankan kepentingan teknologi serta pemantauan cuaca yang tepat bagi membolehkan ramalan lebih berkesan, pengeluaran amaran awal dan tindakan pantas dalam mengurangkan risiko bencana serta kesan perubahan iklim.

MetMalaysia turut meraikan ulang tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia, yang mencerminkan komitmen negara dalam kerjasama global demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

+ - reset