Berita Berita
JPJ perkenal garis panduan baharu, benar litar memandu dalam bangunan bertingkat
BALING 29 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memperkenalkan garis panduan baharu bagi permohonan penubuhan institut memandu (IM), termasuk membenarkan pembinaan litar latihan memandu di dalam bangunan bertingkat.
Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, pengemaskinian itu dilaksanakan bagi memperkukuh kawal selia industri selain memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan.
Katanya, garis panduan tersebut digubal selaras dengan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"JPJ memperkukuhkan kawal selia industri institut memandu melalui pengemaskinian garis panduan permohonan penubuhan institut memandu baharu termasuk membenarkan pembangunan litar latihan memandu di dalam bangunan bertingkat.
"Pendekatan ini penting bagi mengelakkan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan yang boleh menjejaskan operasi institut memandu serta kepentingan calon," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Institut Memandu Warisan Integriti Sdn Bhd dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Norizan Khazali dan turut dihadiri pengarah institusi berkenaan, Datuk Md Rosli Abd Wahab.
Aedy Fadly berkata, antara penambahbaikan utama termasuk penilaian keupayaan pemohon membangunkan IM dalam tempoh ditetapkan serta pertimbangan berdasarkan kapasiti institut memandu sedia ada di sesuatu kawasan.
Menurutnya, JPJ turut memansuhkan penetapan jarak minimum antara IM baharu dan sedia ada selain tiada lagi had minimum keluasan tanah.
"Selain itu, pemohon perlu mengemukakan kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta memenuhi keperluan modal kewangan yang ditetapkan.
"Kita juga membuka konsep baharu institut memandu yang tidak lagi terikat kepada bentuk sedia ada termasuk membolehkan operasi dijalankan di dalam bangunan," katanya.
Beliau berkata, pembangunan IM dalam bangunan bertingkat dilihat sebagai langkah inovatif bagi mengatasi kekangan tanah di kawasan berkepadatan tinggi dan bernilai tinggi khususnya di bandar raya seperti Kuala Lumpur.
"Mana-mana pihak yang berminat boleh menggunakan bangunan sedia ada seperti gudang atau pusat beli-belah yang tidak digunakan untuk dijadikan institut memandu, namun tertakluk kepada syarat keselamatan ketat.
"Kita perlu pastikan struktur bangunan kukuh dan mematuhi semua spesifikasi teknikal terutama jika membabitkan pembinaan litar di bahagian atas bangunan," katanya.
Tambahnya, institut memandu dalam bangunan perlu menjamin keselamatan fizikal kepada calon, tenaga pengajar dan orang awam selain menyediakan ruang dalaman yang kondusif.
Katanya, ia juga perlu mematuhi spesifikasi teknikal litar serta hanya dibenarkan beroperasi bagi kelas kenderaan tertentu seperti motosikal dan kereta, tertakluk kepada kelulusan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPJ turut membuka permohonan penubuhan IM baharu sepanjang masa tanpa tarikh tutup.
"Permohonan kini lebih fleksibel dan terbuka pada bila-bila masa, namun setiap permohonan tetap tertakluk kepada pertimbangan Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu.
"Kita juga membenarkan institut memandu mengambil calon dari mana-mana kawasan bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang," katanya.
Berita berkaitan
March 29, 2026, 4:19 pm
'Yang boleh jadi PM ialah jika semua orang Melayu bersatu' - Tun M
March 29, 2026, 2:57 pm
Lelaki disyaki mangsa bunuh ditemui rentung dalam ladang di Kulim
March 29, 2026, 11:20 am
Cuaca panas: 206 sekolah di Kota Setar, Pendang laksana PdPR tiga hari bermula hari ini
March 29, 2026, 10:20 am
Cermin kereta retak disyaki akibat cuaca panas di JB, lelaki tanggung rugi hampir RM3,000
March 28, 2026, 5:43 pm
Budak 9 tahun maut disyaki didera, empat ahli keluarga direman
March 28, 2026, 4:03 pm
Dakwaan Nurul Izzah letak jawatan Timbalan Presiden PKR palsu - Fahmi
March 28, 2026, 2:12 pm
Jangan langgar syarak dan adat Melayu, Mufti tegur acara ‘Tidur Lambak’
March 28, 2026, 12:45 pm
Ramanan garis pencapaian 100 hari terajui KESUMA, skim lindungi pekerja diperkenal
March 28, 2026, 11:39 am
