TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan langgar syarak dan adat Melayu, Mufti tegur acara ‘Tidur Lambak’

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 28 Mac – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) menegur penganjuran acara ‘Tidur Lambak’ yang berlangsung di sini semalam dan hari ini, agar pelaksanaannya tidak bercanggah dengan tuntutan syarak serta adat Melayu.

Menerusi satu kenyataan, JMNPk memaklumkan pihaknya tidak membantah secara keseluruhan aktiviti yang dianjurkan oleh Tapir Studio itu, namun menegaskan ia perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira elemen syarak dan budaya tempatan.

Menurut jabatan itu, langkah tersebut penting bagi mengelakkan penganjuran acara berkenaan mengundang fitnah terhadap agama Islam serta meminggirkan nilai akhlak dan budaya masyarakat Melayu.

Katanya, walaupun acara dua malam itu secara asasnya tidak menimbulkan pertikaian besar, kebimbangan utama adalah potensi berlakunya ‘ikhtilat’ atau percampuran bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang boleh bercanggah dengan syarak.

"Antara perkara lain yang bakal terhasil sewaktu berlakunya percampuran termasuk kesukaran memelihara pandangan, tersingkap batasan aurat, sentuhan dengan bukan mahram serta perkara-perkara lain yang bercanggah dengan syarak yang amat perlu dielakkan.

"Sehubungan itu, JMNPk menasihatkan agar acara ini perlu diperhalusi semula pelaksanaannya dan amatlah wajar pihak penganjur merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum penganjuran berlangsung.

"Jabatan itu dan jabatan agama Islam negeri wajar dirujuk agar matlamat sesuatu acara itu tercapai dengan jayanya menerusi aktiviti-aktiviti yang patuh syarak serta mengangkat nilai kemuliaan manusiawi," menurut kenyataan itu.

‘Tidur lambak’ merupakan konsep tidur beramai-ramai secara santai yang diinspirasikan daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya suasana balik kampung apabila ahli keluarga berkumpul dan tidur dalam satu ruang.

Penganjuran oleh Tapir Studio itu bertujuan menghidupkan semula pengalaman budaya lama dalam pendekatan moden, di samping menggalakkan interaksi sosial serta memberi pengalaman baharu kepada individu yang tidak pernah melalui suasana tersebut.

Acara itu juga diketengahkan sebagai gabungan elemen ketenangan, nostalgia serta seni bunyi yang mampu mewujudkan suasana damai untuk berehat.

Dalam pada itu, JMNPk menegaskan bahawa pelaksanaan syarak dalam kehidupan bertujuan menjaga kemaslahatan manusia, termasuk dalam penganjuran sebarang acara yang melibatkan masyarakat Islam.

"Bukan tujuan beragama untuk menyempitkan wewenang kehidupan seseorang dan memutuskan hubungan sosial sesama manusia, namun ia sebagai penyelamat kepada diri manusia itu sendiri daripada kehinaan dan kerosakan nilai harga diri manusiawi.

"Beraktiviti atau berekreasi bagi menyegarkan ingatan serta bernostalgia tidaklah ditegah secara mutlak, namun perlu akur dan tunduk kepada panduan syarak yang memandu kehidupan manusia agar terselamat di dunia dan akhirat," katanya.

Sebelum ini, menerusi perkongsian di Facebook, Tapir Studio memaklumkan acara ‘Tidur Lambak’ pernah diadakan di Kuala Lumpur dan Jakarta sebelum dibawa ke Ipoh sempena Syawal, dengan lokasi penganjuran di sebuah bekas kilang pembuatan papan di Bukit Merah.

+ - reset