TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL tambah CCTV di KLCC perkasakan keselamatan dan kawalan trafik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah tiga unit televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan KLCC bagi memperkukuh pemantauan keselamatan serta kawalan trafik yang lebih efektif di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

Pihak DBKL menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan persekitaran bandar raya kekal selamat, teratur, dan lebih responsif terhadap keperluan warga kota serta pengunjung.

Kesemua unit CCTV berkenaan disambungkan secara terus ke Bilik Gerakan DBKL bagi membolehkan pemantauan masa nyata dilakukan serta tindakan pantas diambil sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Langkah ini menyusul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, mengadakan tinjauan terhadap aktiviti 'ulat foto' di sekitar kawasan tersebut semalam.

Hannah Yeoh menegaskan bahawa isu keselamatan merupakan faktor utama yang diberikan keutamaan bagi memastikan pengalaman pengunjung di ibu kota tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, pihak polis dilaporkan telah menahan 18 lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan serangan membabitkan jurugambar jalanan atau 'ulat foto' terhadap seorang pelancong warga asing di hadapan KLCC pada 22 Mac lalu.

+ - reset