Berita Berita
Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg PM arah tangguh dedah hasil siasatan Azam Baki
KUALA LUMPUR 1 April – Kerajaan menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa wujud arahan untuk menangguhkan pendedahan hasil siasatan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan dakwaan laporan Bloomberg itu sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
Menurut beliau, susulan pembentangan dapatan jawatankuasa siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding terhadap Azam Baki telah pun dimulakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini melibatkan proses dan tatacara yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Shamsul berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan.
Penafian itu dibuat susulan laporan Bloomberg semalam yang mendakwa Anwar Ibrahim kononnya mengarahkan pegawai supaya menangguhkan pendedahan dapatan siasatan terhadap Azam, sementara menunggu siasatan berasingan berkaitan dakwaan pakatan sulit melibatkan beberapa ahli perniagaan dan pegawai SPRM diselesaikan.
Sebelum ini, Azam dan SPRM telah menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan tersebut.
Bloomberg turut melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7 peratus dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Beliau didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.
Bagaimanapun, Azam menjelaskan bahawa urus niaga tersebut telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, peguam beliau telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg, menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta, manakala pihak media itu mempertahankan laporan yang diterbitkan.
Terdahulu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam, dengan hasil siasatan itu akan diteliti oleh Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Berita berkaitan
April 1, 2026, 11:21 am
Pemandu mabuk berdepan hukuman mati didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang
April 1, 2026, 10:48 am
Ibu tunggal, dua anak ditahan subahat 'simpan' kekasih dalam rumah
April 1, 2026, 10:20 am
“Saya nak nyawa dibalas nyawa” – Isteri mangsa maut dirempuh pemandu mabuk tuntut keadilan
April 1, 2026, 10:09 am
MCMC siasat 3 individu sebar berita palsu tarif elektrik
April 1, 2026, 10:01 am
Beri alasan hantar 'check-in' inap desa, lelaki berstatus suami orang ditahan berkhalwat
April 1, 2026, 9:47 am
Anne Ngasri dilantik Pengerusi Hotel Premiera Kuala Lumpur
March 31, 2026, 10:41 pm
Yayasan Kubra menang di mahkamah, perintah siasatan kuil di Rawang dibatalkan
March 31, 2026, 8:49 pm
Isu pemandu mabuk perlu pencegahan berkesan, bukan hukuman mati – Kasthuri
March 31, 2026, 8:33 pm
