Berita Jenayah
Misteri beg bertulis 'STONE' terdampar di Pantai Tanjung Gosong, rupanya berisi kokain RM7.31 juta
KUANTAN 1 April – Sebanyak 16.26 kilogram dadah jenis kokain bernilai RM7.31 juta ditemui terdampar di pesisir Pantai Tanjung Gosong, Pekan, dalam satu penemuan luar biasa pada Selasa lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kira-kira jam 2.45 petang itu membawa kepada penemuan sebuah beg mencurigakan hasil maklumat orang awam.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg tersebut mengandungi 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertanda ‘STONE’ yang masih dalam keadaan baik, manakala enam bungkusan lagi telah terlarut akibat terendam lama di dalam air.
“Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan mencecah RM7.318 juta berdasarkan harga pasaran semasa iaitu kira-kira RM450,000 bagi setiap satu kilogram.
“Keadaan fizikal bungkusan menunjukkan dadah ini dipercayai telah hanyut di laut dalam tempoh yang lama sebelum terdampar di pesisir pantai tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Yahaya menyifatkan rampasan kokain dalam jumlah sebesar itu sebagai kes yang jarang berlaku di negeri ini dan dianggarkan mampu membekalkan kepada lebih 80,000 penagih sekiranya berjaya diedarkan.
Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seorang saksi bagi membantu siasatan, namun belum ada sebarang tangkapan dibuat.
Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan untuk menghubungi JSJN Pahang di talian 09-4221222 bagi membantu siasatan lanjut.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 9:44 am
Buat aksi 'superman' ke perhimpunan RXZ Members 8.0, penunggang Singapura ditahan
July 30, 2026, 2:11 pm
Mudir madrasah didakwa tiga pertuduhan amang seksual murid lelaki di Tumpat
July 29, 2026, 10:39 am
Dua pemandu bas ekspres ditahan, sorok syabu di tempat duduk
July 28, 2026, 9:10 am
Warga asing dakwa diperas polis rupanya 'scammer' dikehendaki Interpol
July 27, 2026, 7:22 pm
Nyaris maut ditembak lelaki bertopeng lepas beli telur di Simpang Ampat
July 26, 2026, 9:36 am
Polis tahan lelaki disyaki serang, ugut penguat kuasa MBI
July 25, 2026, 3:21 pm
Lelaki ditahan disyaki hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 9:45 am
Dua remaja ditemui maut di Flat Sungai Pari
July 24, 2026, 9:04 am
