TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Hentikan Perang' – Tun M gesa rundingan damai, sifatkan pembunuhan bukan jalan penyelesaian

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan kenyataan tegas menggesa dunia menghentikan peperangan dan kembali kepada meja rundingan bagi menyelesaikan sebarang konflik antarabangsa.

Menerusi hantaran terbaru beliau, tokoh negarawan itu menegaskan pendiriannya yang konsisten menentang peperangan kerana beliau tidak dapat menerima pembunuhan manusia sebagai jalan penyelesaian kepada sebarang masalah.

Beliau menyifatkan tindakan manusia yang masih menerima peperangan — yang melibatkan pembunuhan besar-besaran — sebagai satu perkara yang sukar untuk diterima akal dan tidak berperikemanusiaan.

"Perang adalah tentang membunuh orang, pembunuhan besar-besaran. Bagaimana manusia masih boleh menerima peperangan sebagai penyelesaian kepada konflik antara negara adalah sesuatu yang tidak terfikirkan," katanya.

Dr. Mahathir turut menekankan bahawa manusia telah dikurniakan akal fikiran untuk mencari alternatif lain yang jauh lebih selamat, tidak mematikan, dan melibatkan kos yang jauh lebih rendah berbanding kemusnahan akibat perang.

Antara langkah alternatif yang dicadangkan beliau termasuklah melalui proses rundingan, timbang tara (arbitrasi), atau melalui saluran mahkamah undang-undang yang membolehkan setiap pihak menimbang kebaikan dan keburukan sesuatu penyelesaian.

Beliau mengakhiri kenyataan ringkas tersebut dengan menegaskan bahawa rundingan damai secara jelas merupakan cara terbaik untuk merungkaikan sebarang pertelingkahan antara negara.

+ - reset