TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Pelajar UM juara Kejohanan Catur Masjid India, puji penganjuran bertaraf tinggi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 5 April - Seorang anak muda tempatan membuktikan keupayaan luar biasa apabila muncul juara dalam Kojahanan Catur Masjid India yang menghimpunkan pemain berkaliber dari dalam dan luar negara.

Wong Ying Long, 24, yang kini bekerja dan merupakan bekas pelajar Universiti Malaya (UM), meluahkan rasa gembira atas kejayaan tersebut meskipun mengakui tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul sebagai pemenang.

Menurutnya, kejohanan edisi kali pertama itu menyaksikan persaingan sengit dengan penyertaan ramai pemain handalan termasuk dari luar negara.

“Saya sangat gembira kerana dapat bersaing dengan pemain yang kuat dan bertaraf antarabangsa. Walaupun tidak menjangkakan kemenangan, ia memang menjadi antara sebab utama saya menyertai kejohanan ini,” katanya.

Beliau yang mula bermain catur sejak usia enam tahun berkata, minatnya terhadap sukan itu kekal hingga kini walaupun hanya bermain secara separuh masa berikutan komitmen kerjaya.

“Saya pernah bermain secara lebih kompetitif ketika usia muda, namun kini fokus utama saya adalah kerjaya. Walaupun begitu, saya masih menyimpan hasrat untuk menjadi antara grandmaster di Malaysia suatu hari nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wong turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur yang disifatkan berjaya menganjurkan kejohanan dengan sangat baik dan profesional.

“Penganjuran sangat teratur, lokasi pertandingan juga selesa dan kondusif. Malah, kemudahan yang disediakan termasuk hidangan makanan kepada peserta jelas menunjukkan komitmen tinggi pihak penganjur dalam memastikan kejohanan berjalan lancar,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi peluang kepada pemain tempatan mengasah bakat, malah meningkatkan tahap permainan melalui pendedahan kepada persaingan antarabangsa. - Media Telus

+ - reset